ISF Group catat untung bersih RM25.34 juta - Utusan Malaysia

ISF Group catat untung bersih RM25.34 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: ISF Group Berhad mencatatkan lonjakan untung bersih kira-kira 162.9 peratus kepada paras tertinggi sepanjang masa sebanyak RM25.34 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, berbanding RM9.64 juta pada tahun sebelumnya. 

Peningkatan ketara itu didorong oleh margin projek yang lebih tinggi, terutamanya daripada pelaksanaan projek pusat data berskala besar yang menyumbang secara signifikan kepada keuntungan kumpulan.

Bagi tahun kewangan 2025, kumpulan merekodkan hasil sebanyak RM98.55 juta, meningkat 80.3 peratus tahun ke tahun berbanding RM54.67 juta pada tahun kewangan 2024. 

Pertumbuhan kukuh ini didorong terutamanya oleh peningkatan sumbangan daripada segmen pusat data, selari dengan permintaan tinggi terhadap pembangunan infrastruktur digital dan kemudahan perindustrian di Malaysia.

Dari segi prestasi suku tahunan, keputusan suku keempat tahun kewangan 2025 turut menunjukkan pengukuhan berbanding suku sebelumnya. 

Hasil meningkat 2.4 peratus kepada RM24.57 juta daripada RM23.99 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2025. 

Untung bersih pula melonjak 35.8 peratus suku ke suku kepada RM6.82 juta berbanding RM5.02 juta, disokong oleh pengiktirafan margin yang lebih tinggi susulan hampir siapnya projek pusat data sedia ada.

Pengarah Urusan ISF, Jeff Ai Boon Chen berkata, prestasi kukuh yang dicapai pada tahun kewangan 2025 mencerminkan momentum pertumbuhan berterusan serta keupayaan kami melaksanakan projek berskala besar dengan margin yang mampan. 

“Permintaan terhadap penyelesaian paip bersepadu terus berkembang, khususnya dalam sektor pusat data, kemudahan perindustrian dan hab logistik,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah, perkembangan pesat sektor pembinaan di Malaysia, termasuk inisiatif di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, dijangka membuka lebih banyak peluang baharu kepada Kumpulan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Setakat 31 Disember 2025, ISF mempunyai buku pesanan belum dibil sebanyak RM125.69 juta, yang memberikan keterlihatan pendapatan sehingga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2028.

Dari segi kedudukan kewangan, ISF kekal dalam keadaan tunai bersih dengan jumlah tunai RM20.47 juta melebihi jumlah pinjaman RM7.97 juta. 

Bagi tahun kewangan 2025, kumpulan menjana aliran tunai operasi bersih sebanyak RM19.88 juta, mencerminkan keupayaan penjanaan tunai yang sihat serta pengurusan modal kerja yang berdisiplin.

Tiada perbandingan dibuat dengan suku tahun yang sepadan sebelumnya memandangkan tiada laporan kewangan interim disediakan bagi tempoh tersebut. 

ISF baru-baru ini disenaraikan di Pasaran ACE, Bursa Malaysia Securities Berhad dan berjaya mengumpul dana sebanyak RM61.15 juta bagi menyokong pelan pengembangan kapasiti, pengukuhan operasi serta pertumbuhan strategik masa hadapan.

Dengan asas kewangan yang kukuh, buku pesanan yang mampan serta prospek industri yang positif, ISF berada pada landasan yang baik untuk meneruskan trajektori pertumbuhan dan meningkatkan nilai kepada para pemegang saham. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN