Inflasi meningkat 1.6 peratus pada Januari

Inflasi meningkat 1.6 peratus pada Januari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Inflasi Malaysia meningkat 1.6 peratus pada Januari 2026 dengan mata indeks meningkat kepada 135.7 daripada 133.6 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu didorong terutamanya oleh kenaikan dalam kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial serta pelbagai barangan dan perkhidmatan.

Selain itu, katanya, kenaikan turut melibatkan sektor pendidikan, perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain, serta kumpulan rekreasi, sukan dan kebudayaan.

“Kedua-dua kumpulan minuman beralkohol dan tembakau meningkat 2.5 peratus, manakala makanan dan minuman meningkat 1.5 peratus, sama seperti yang direkodkan pada Disember 2025.

“Namun, peningkatan perlahan bagi kumpulan insurans dan perkhidmatan kewangan sebanyak 5.5 peratus berbanding 5.6 peratus pada bulan sebelumnya, manakala restoran dan perkhidmatan penginapan merekodkan 3.0 peratus berbanding 3.1 peratus.

“Kesihatan pula mencatat 1.4 peratus, maklumat dan komunikasi (0.7 peratus) dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.2 peratus), sedikit sebanyak telah mengimbangi inflasi daripada terus meningkat” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, menurutnya, inflasi bagi kumpulan pakaian dan kasut kekal tidak berubah pada 0.1 peratus manakala kumpulan pengangkutan mencatatkan trend menurun kepada -0.7 peratus pada Januari berbanding 0.1 peratus pada bulan sebelumnya.

“Sebanyak 62.0 peratus item (355 daripada 573) merekodkan kenaikan harga.

“Namun begitu, daripada jumlah tersebut, 346 item daripada 97.5 peratus mencatatkan peningkatan kurang atau sama dengan 10 peratus, manakala hanya sembilan item merekodkan kenaikan melebihi 10 peratus pada Januari 2026.

“Baki sebanyak 173 item daripada 30.2 peratus menunjukkan penurunan dan 45 item kekal tidak berubah,” katanya.

Menurut Mohd. Uzir, kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP meningkat 1.5 peratus, kadar yang sama direkodkan pada Disember 2025.

“Subkumpulan makanan di luar rumah merekodkan peningkatan yang lebih perlahan kepada 2.5 peratus berbanding 2.7 peratus pada Disember 2025.

“Subkumpulan makanan di rumah meningkat lebih tinggi, 0.6 peratus pada Januari 2026 daripada 0.3 peratus pada Disember 2025.

“Peningkatan ini disumbangkan oleh inflasi kelas perbelanjaan Daging sebanyak 1.3 peratus dan susu, produk tenusu lain dan telur sebanyak 0.3 peratus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN