Industri sawit diunjur terus melonjak tahun ini - Utusan Malaysia

Industri sawit diunjur terus melonjak tahun ini

NORAINI Ahmad melawat pameran yang terdapat di reruai pada Persidangan & Pameran Prospek Harga Minyak Sawit & Laurik (POC) 2026, di Hotel Shang Ri-La, di sini hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Prospek industri minyak sawit negara bagi tahun ini dijangka positif, dipacu oleh pengukuhan kerjasama antarabangsa serta keadaan perdagangan yang semakin baik.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada prestasi luar biasa sepanjang 2025 yang menyaksikan industri sawit negara melakar sejarah baharu apabila pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) mencecah 20.28 juta tan.

Menurutnya, angka tersebut merupakan rekod tertinggi yang pernah dicatatkan, sekali gus melepasi paras 20 juta tan metrik buat julung kalinya bagi sektor komoditi negara.

“Pencapaian bersejarah itu mencerminkan keadaan operasi yang menyokong termasuk faktor cuaca yang baik, bekalan tenaga kerja yang bertambah baik serta sumbangan daripada kawasan ladang baharu yang menghasilkan hasil lebih tinggi.

“Meskipun berdepan risiko iklim dan gangguan geopolitik, keputusan ini membuktikan daya tahan dan keupayaan sektor sawit tempatan untuk menyesuaikan diri dalam persekitaran global yang mencabar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada edisi ke-37 Persidangan dan Pameran Tinjauan Harga Minyak Sawit dan Laurik (POC) 2026 anjuran Bursa Malaysia di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha, Naib Presiden Eksekutif Bursa Komoditi Dalian, Yu Li dan Pengarah Eksekutif, Produk Pertanian Kumpulan CME, Nelson Low. 

Mengulas lanjut, Noraini berkata, nilai eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit Malaysia turut mencatatkan pengukuhan kepada RM112.51 bilion pada 2025, berbanding RM109.39 bilion pada tahun sebelumnya.

Jelasnya, pertumbuhan itu menekankan keyakinan pasaran antarabangsa terhadap Malaysia sebagai pembekal yang stabil dan bertanggungjawab di sebalik ketidaktentuan dasar perdagangan global.

“Salah satu pemangkin utama kepada kestabilan ini adalah pemeteraian Perjanjian Perdagangan Timbal Balas antara Malaysia dan Amerika Syarikat pada 26 Oktober 2025 yang memberi pelepasan tarif kepada lebih 1,700 barangan eksport termasuk minyak sawit, getah dan koko.

“Ini mencerminkan kepentingan penglibatan konstruktif dengan rakan dagang luar bagi memastikan pasaran kekal terbuka, berasaskan peraturan dan praktikal untuk perniagaan,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Urusan Bursa Malaysia Berhad, Datuk Fad’l Mohamed berkata, pasaran masa hadapan kini berdepan tekanan baharu daripada dasar tenaga dan keperluan kemampanan yang menyebabkan pergerakan harga menjadi lebih pantas dan mencabar untuk diuruskan.

Jelas beliau, pengurusan risiko pada masa kini memerlukan pendekatan yang melangkaui instrumen minyak sawit semata-mata.

“Selain Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah (FCPO), Bursa Malaysia telah memperkenalkan kontrak tambahan untuk membantu peserta pasaran mengurus pendedahan harga yang berkaitan.

“Sebagai contoh, Niaga Hadapan Minyak Soya DCE Bursa Malaysia (FSOY) menyediakan alternatif untuk lindung nilai terhadap pergerakan pasaran minyak soya di China, manakala, USD Minyak Masak Terpakai FOB Straits (Platts) atau FUCO mencerminkan risiko harga yang dikaitkan dengan minyak masak terpakai bagi bahan api boleh diperbaharui,” katanya.

Tambahnya, inovasi instrumen tersebut hanya akan memberi kesan positif sekiranya syarikat mempunyai keyakinan untuk menggunakannya dalam mendepani risiko baharu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN