PETALING JAYA: Indeks volum perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan 6.5 peratus tahun ke tahun pada suku tahun keempat 2025 kepada 167.7 mata, didorong oleh peningkatan aktiviti merentasi semua segmen perkhidmatan, menurut Jabatan Perangkaan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan tersebut dipacu terutamanya oleh segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan yang berkembang 6.6 peratus.
“Ia diikuti segmen maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan yang meningkat 8.7 peratus. Segmen perkhidmatan perniagaan dan kewangan pula berkembang 3.5 peratus, manakala perkhidmatan lain mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 10.3 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.
Indeks volum bagi segmen perdagangan borong dan runcit, makanan minuman serta penginapan meningkat 6.6 peratus kepada 167.9 mata, disokong oleh pertumbuhan perdagangan borong dan runcit (5.8 peratus), makanan dan minuman (9.4 peratus) serta penginapan (15.1 peratus).
Menurut beliau, perdagangan borong menjadi penyumbang utama dengan peningkatan 6.6 peratus kepada 155.5 mata, diikuti perdagangan runcit (4.6 peratus) dan kenderaan bermotor (8.4 peratus), disokong permintaan pengguna dan aktiviti berkaitan pelancongan.
“Segmen maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan pula mencatatkan indeks 189.0 mata dengan pertumbuhan 8.7 peratus. Subsektor maklumat dan komunikasi berkembang 8.8 peratus manakala pengangkutan dan penyimpanan meningkat 8.5 peratus.
“Perkembangan ini didorong oleh pembangunan berterusan sektor digital dan pusat data, yang meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan digital serta rangkaian internet,” katanya.
Segmen perkhidmatan perniagaan dan kewangan merekodkan indeks volum 155.0 mata dengan pertumbuhan 3.5 peratus, disokong oleh perkhidmatan profesional serta pentadbiran dan khidmat sokongan yang meningkat 7.0 peratus, diikuti hartanah (8.0 peratus) dan kewangan serta insurans (0.5 peratus).
Segmen perkhidmatan lain meningkat 10.3 peratus kepada 146.6 mata, dipacu oleh pertumbuhan dalam kesenian, hiburan dan rekreasi serta perkhidmatan persendirian dan lain-lain aktiviti (11.8 peratus), kesihatan swasta (10.3 peratus) dan pendidikan swasta (8.8 peratus).
Mohd. Uzir berkata, pertumbuhan subsektor kesenian, hiburan dan rekreasi didorong oleh peningkatan penyertaan dalam aktiviti riadah, manakala perkhidmatan persendirian disokong permintaan berterusan terhadap perkhidmatan dobi, kecantikan dan penjagaan diri.
“Bagi perbandingan suku ke suku, Indeks volum perkhidmatan meningkat 1.9 peratus berbanding suku tahun ketiga 2025, dengan semua segmen utama mencatatkan pertumbuhan positif.
“Dari segi pelarasan bermusim, indeks meningkat sederhana 0.5 peratus, didorong oleh segmen maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan (2.0 peratus) diikuti perkhidmatan perniagaan dan kewangan (0.9 peratus), manakala segmen berkaitan perdagangan dan perkhidmatan lain mencatatkan penurunan kecil,” tambahnya.
Secara tahunan, indeks volum perkhidmatan meningkat 5.8 peratus kepada 162.9 mata pada 2025 berbanding 154.0 mata pada 2024, dipacu oleh pertumbuhan dalam semua segmen utama.
Dalam pada itu, DOSM berkata, indeks dan statistik bagi suku pertama hingga suku ketiga 2025 telah disemak semula susulan penerimaan data terkini berkaitan industri pusat data dalam subsektor teknologi maklumat dan komunikasi. – UTUSAN










