PETALING JAYA: Hong Leong Bank Berhad (HLB) mencatat peningkatan keuntungan bersih kepada RM2.26 bilion bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Disember 2025 (separuh pertama tahun kewangan 2026), naik 1.0 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Prestasi itu dicapai meskipun berdepan persekitaran luaran yang mencabar, disokong pertumbuhan kukuh pinjaman dan pengembangan pendapatan bukan faedah.
Keuntungan operasi sebelum sumbangan syarikat bersekutu turut meningkat 5.6 peratus tahun ke tahun kepada RM2.075 bilion, manakala jumlah pendapatan naik 3.8 peratus kepada RM3.352 bilion.
Pendapatan bukan faedah berkembang 7.5 peratus kepada RM814 juta, menyumbang kepada nisbah pendapatan bukan faedah yang lebih baik pada 24.3 peratus. Margin faedah bersih (NIM) kekal stabil pada 1.83 peratus.
Bagi suku kedua, keuntungan bersih adalah lebih tinggi pada RM1.17 bilion berbanding RM1.15 bilion, manakala pendapatan suku tahunan meningkat kepada RM1.67 bilion daripada RM1.63 bilion pada suku tahun lalu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan HLB, Kevin Lam berkata, pertumbuhan keuntungan bersih tersebut mencerminkan asas perniagaan yang kukuh serta pelaksanaan berdisiplin Pelan Transformasi 3-5 Tahun bank berkenaan.
“Prestasi ini dipacu pertumbuhan pinjaman yang mampan, sumbangan lebih tinggi daripada perniagaan pengurusan kekayaan dan pasaran global serta pengurusan kos yang berhemat,” katanya dalam kenyataan.
Walaupun sumbangan daripada syarikat bersekutu, Bank of Chengdu Co., Ltd berkurangan susulan pencairan pegangan saham dan kesan pertukaran asing, HLB kekal mencatat peningkatan keuntungan bersih keseluruhan.
Jumlah pinjaman kasar, pendahuluan dan pembiayaan berkembang 8.2 peratus y-o-y kepada RM215.7 bilion, manakala nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) kekal rendah pada 0.59 peratus, mencerminkan kualiti aset yang mantap.
Dari sudut kecairan, deposit pelanggan meningkat 6.8 peratus kepada RM242 bilion dengan akaun semasa dan simpanan (CASA) naik 12.1 peratus kepada RM79.6 bilion.
Lembaga Pengarah turut mengisytiharkan dividen interim sebanyak 30 sen sesaham bagi separuh pertama tahun kewangan 2026, mencerminkan keyakinan terhadap prestasi dan kedudukan modal bank yang kekal kukuh. – UTUSAN










