FEM 2026 platform pelaksanaan RMK13 - Utusan Malaysia

FEM 2026 platform pelaksanaan RMK13

AKMAL Nasrullah berucap pada Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2026 menjadi platform utama kerajaan menetapkan arah ekonomi negara, dengan penekanan kepada pelaksanaan dasar berasaskan bukti yang terus disalurkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, RMK13 akan membentuk hala tuju pembangunan negara dan pertumbuhan ekonomi bagi tempoh lima tahun akan datang, dengan menyediakan pelan hala tuju yang jelas merangkumi infrastruktur, modal insan, inovasi, kemajuan industri dan kelestarian.

Katanya, FEM berperanan menghimpunkan para pemegang taruh bagi menjana penyelesaian berasaskan bukti yang boleh diterjemahkan kepada syor yang boleh dilaksanakan untuk perancangan nasional. 

“Tahun ini, FEM 2026 akan memberi tumpuan kepada keutamaan yang akan membentuk ekonomi negara untuk jangka masa panjang iaitu bagaimana kecerdasan buatan (AI) dan teknologi boleh meningkatkan produktiviti, memperbaiki perkhidmatan awam dan mewujudkan industri baharu.

“Kedua, bagaimana peralihan tenaga dapat dilaksanakan sambil memastikan tenaga kekal mampu milik dan boleh dipercayai, bagaimana pembaharuan dalam sektor kesihatan dan perumahan dapat memperkukuh akses saksama serta kualiti taraf hidup dan bagaimana perdagangan dan pelaburan dapat kekal berdaya saing.

“Selain itu, FEM juga menarik modal bernilai tinggi dan mengembangkan eksport dan bagaimana kita menyediakan tenaga kerja masa hadapan yang bersedia serta menangani realiti demografi seperti populasi yang semakin menua, di samping memupuk bakat generasi akan datang,” katanya dalam ucapan perasmian FEM 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam.

Menurut Akmal, input kolektif ini dirumuskan menjadi cadangan yang boleh dilaksanakan dan disalurkan terus ke dalam perancangan nasional. 

“Dengan itu, FEM 2026 bukan sekadar platform perbincangan, tetapi merupakan mekanisme kritikal dalam membentuk dasar, memandu pelaburan dan mengutamakan inisiatif yang akan memacu pertumbuhan mampan, pembangunan inklusif dan kemakmuran jangka panjang untuk Malaysia. 

“Bagi para pelabur, FEM 2026 menunjukkan kesungguhan dasar, kredibiliti pelaksanaan dan penyelarasan institusi. 

“Bagi rakyat pula, kejayaan diukur melalui penambahbaikan yang nyata, termasuk penciptaan pekerjaan, pertumbuhan pendapatan, pengurangan jurang wilayah, penambahbaikan perkhidmatan awam serta kemajuan dalam kos sara hidup, perumahan, peralihan tenaga dan produktiviti,” katanya.

Jelas Akmal, di peringkat nasional, pelaksanaan sistem MyRMK di bawah RMK13 membolehkan pemantauan masa nyata berasaskan hasil, dengan setiap projek diberikan pemilikan yang jelas, garis masa, bajet dan petunjuk prestasi utama (KPI). 

Katanya, FEM turut mempercepat penyampaian melalui penelitian terbuka dan berasaskan data terhadap kemajuan dasar, sekali gus meletakkan forum ini sebagai “kad laporan” nasional bagi prestasi pelaksanaan. 

“Dengan mengintegrasikan dialog bersama pemantauan dan kebertanggungjawaban yang sistematik, FEM memastikan setiap cadangan berkembang daripada perbincangan kepada dasar yang boleh dilaksanakan dengan impak yang boleh diukur.

“Ini bukan persoalan dasar yang bersifat abstrak, ia memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian, pekerjaan, gaji, kos sara hidup, perumahan, kesihatan dan peluang untuk generasi akan datang. 

“Inilah sebabnya FEM penting ia membantu kita mengemukakan soalan-soalan sukar dan mencabar andaian, agar dasar yang digubal benar-benar menghasilkan hasil yang nyata,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN