PETALING JAYA: EcoFirst Consolidated Bhd. menerusi dua anak syarikat milik penuhnya, EcoFirst Homes Sdn. Bhd. dan EcoFirst Living Sdn. Bhd. memeterai perjanjian jual beli bagi memperoleh dua bidang tanah pegangan bebas di Pulau Pinang pada nilai keseluruhan RM45 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, perjanjian berkenaan dimeterai pada 30 Januari 2026 melibatkan pembelian tanah daripada Prisma Bumiraya Sdn. Bhd. (dalam pembubaran) dan Akasia Dimensi Sdn. Bhd.
Menurutnya, tanah pertama yang dikenali sebagai Bolden Land terletak di Daerah Barat Daya Pulau Pinang dengan keluasan kira-kira 1.26 ekar akan dibeli oleh EcoFirst Homes pada harga RM20 juta.
“Tanah tersebut dirancang untuk dibangunkan sebagai projek kondominium moden dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM163 juta.
“EcoFirst Living pula akan memperoleh Collins Land seluas kira-kira 13.46 ekar pada harga RM25 juta. Lokasi tanah itu terletak kira-kira tiga kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan dijangka dibangunkan sebagai projek kondominium mampu milik dengan anggaran GDV RM400 juta,” katanya.
Mengulas lanjut, EcoFirst berkata, kedua-dua tanah berkenaan telah dinilai oleh Henry Butcher Malaysia (Penang) Sdn. Bhd. dengan nilai pasaran keseluruhan RM49 juta, sekali gus membolehkan kumpulan memperoleh aset tersebut pada diskaun sekitar lapan peratus berbanding nilai pasaran.
Katanya, pembayaran harga pembelian akan dibuat secara tunai melalui gabungan dana dalaman dan pembiayaan pinjaman bank.
“Dari segi jadual pembangunan, projek di Bolden Land dijangka bermula pada suku keempat 2026 dengan tempoh siap sekitar tiga tahun, manakala pembangunan di Collins Land dijangka bermula pada suku kedua 2027 dan mengambil masa antara tiga hingga empat tahun untuk disiapkan,” katanya.
Tambahnya, pemerolehan itu akan memperkukuh bank tanah kumpulan serta menyokong pelan pembangunan jangka sederhana, di samping mengurangkan kebergantungan kepada pasaran Lembah Klang melalui peluasan operasi ke wilayah utara Semenanjung.
“Pulau Pinang kekal sebagai pasaran hartanah yang berdaya tahan, disokong pertumbuhan sektor elektrik dan elektronik, kekangan bekalan tanah di pulau serta permintaan berterusan bagi kediaman bertingkat sederhana dan tinggi,” tambahnya.
Menurut syarikat itu, pemerolehan berkenaan tidak dijangka memberi kesan material terhadap pendapatan, aset bersih dan pegangan saham utama kumpulan dalam tempoh terdekat, namun dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan pada masa hadapan apabila projek pembangunan direalisasikan. – UTUSAN










