Dividen KWSP 2025 dijangka antara 5.5%-6.3%

Dividen KWSP 2025 dijangka antara 5.5%-6.3%

GAMBAR Hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengagihkan dividen sekitar 5.8 hingga 6.3 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 5.5 hingga 6.0 peratus bagi Simpanan Syariah untuk tahun kewangan 2025.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, prestasi pelaburan yang kukuh, terutamanya dalam ekuiti menyokong jangkaan pulangan yang baik ini. 

Katanya, berdasarkan  jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM63.99 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama berakhir 30 September 2025, KWSP berada di landasan yang terbaik untuk meneruskan pencapaian cemerlang 2024.

“Sebagai perbandingan dividen pendapatan KWSP bagi tempoh tersebut meningkat 11 peratus berbanding RM57.57 bilion yang dicatatkan pada tempoh sama tahun 2024. 

“Ini disebabkan pencapaian suku ketiga yang baik iaitu mencatatkan pendapatan pelaburan bagi suku ketiga 2025 sebanyak RM25.07 bilion, meningkat 27 peratus berbanding RM19.67 bilion pada suku sama tahun sebelumnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, pengumuman prestasi ekonomi negara yang terus menunjukkan momentum positif apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mencatatkan lonjakan 6.3 peratus pada suku keempat 2025, sekali gus menjadikan pertumbuhan tahunan sebanyak 5.2 peratus turut memberikan momentum terbaik untuk menyokong prestasi KWSP.

Aimi Zulfahmi berkata, keupayaan KWSP membuat pelaburan yang seimbang dan strategik terus dibuktikan dengan penggunaan data semasa serta teknologi kewangan (fintech) secara menyeluruh. 

“Sehingga 30 September 2025, jumlah aset pelaburan KWSP adalah sebanyak RM1.37 trilion, meningkat 12 peratus berbanding tahun sebelumnya. 

“Pelaburan antarabangsa pula walaupun merangkumi 39 peratus daripada jumlah aset, disokong oleh penilaian pasaran ekuiti global yang berdaya tahan. Pelaburan antarabangsa menjana RM13.33 bilion iaitu 53 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kadar dividen KWSP untuk tahun kewangan 2025 akan dibuat berdasarkan prospek jangka masa panjang dan tidak semestinya akan berterusan naik saban tahun. 

“Ini kerana kadar 6.30 peratus pada tahun 2024 adalah lebih tinggi dari purata kadar dividen untuk 10 tahun dan juga 20 tahun lepas. 

“Oleh itu, walaupun tidak semestinya lebih tinggi, kadar yang bakal diumumkan akan kekal kompetitif untuk kedua-dua simpanan,” jelasnya.

Tambah beliau, faktor pertumbuhan ekonomi domestik yang positif dan kemasukan pelaburan asing tahun lepas membolehkan pulangan atas pelaburan mencapai matlamat pelaburan tersebut

Ujarnya, strategi pengagihan aset yang diamalkan oleh KWSP selama ini amat membantu menguruskan risiko pelaburan dan menyumbang kepada pulangan positif melalui portfolio pelaburan yang pelbagai dan merentasi kitaran pasaran, terutamanya aset berbentuk ekuiti yang dilaburkan di dalam dan luar negara.

“Risiko utama lebih kepada memastikan keseimbangan dapat dicapai antara pulangan yang sesuai untuk ahli dan juga kemampanan KWSP untuk masa depan ahlinya,” katanya.

Tahun lalu, KWSP mengumumkan kadar dividen lebih tinggi sebanyak 6.3 peratus peratus untuk kedua-dua Simpanan Konvensional dan Simpanan Syariah bagi tahun berakhir 31 Disember 2024.

Jumlah agihan bagi Simpanan Konvensional melibatkan RM63.05 bilion dan RM10.19 billion bagi Simpanan Syariah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN