Cuckoo Malaysia catat untung bersih RM105.2 juta pada tahun pertama penyenaraian - Utusan Malaysia

Cuckoo Malaysia catat untung bersih RM105.2 juta pada tahun pertama penyenaraian

HOE KIAN CHOON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cuckoo International (MAL) Berhad mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM105.2 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (TK2025), sekali gus mencerminkan prestasi kewangan yang stabil dalam tahun penuh pertamanya sebagai syarikat tersenarai di Pasaran Utama.

Syarikat yang dikenali sebagai peneraju Pencipta Kediaman Sihat itu merekodkan pendapatan berjumlah RM1.1 bilion bagi tempoh sama, manakala keuntungan kasar (GP) mencecah RM378.7 juta dengan margin kasar yang sihat sebanyak 34.4 peratus.

Bagi suku keempat tahun kewangan 2025, syarikat mencatatkan pendapatan RM233.6 juta dan PAT RM36.5 juta, menandakan penstabilan trajektori kewangan serta daya tahan operasi dalam persekitaran perbelanjaan pengguna yang masih berhati-hati.

Secara suku ke suku, pendapatan disederhanakan sebanyak RM30.7 juta atau 11.6 peratus berbanding suku sebelumnya, terutamanya disebabkan jualan unit yang lebih rendah daripada segmen jenama CUCKOO dan CUCKOO Co-Created.

Pengarah Eksekutif Bukan Bebas merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hoe Kian Choon berkata, suku keempat tahun kewangan 2025 memperlihatkan impak positif hasil inisiatif pengurusan kredit berhemat dan disiplin operasi yang lebih ketat.

“Walaupun perbelanjaan pengguna masih terukur, margin kasar yang lebih baik serta prestasi kutipan yang semakin kukuh mencerminkan daya tahan model perniagaan berasaskan penyewaan kami.

“Kami kekal fokus meningkatkan kualiti aset, mengembangkan ekosistem penyelesaian kesejahteraan serta memperkukuh rangkaian pengedaran omni-saluran bagi memanfaatkan minat yang meningkat terhadap penyelesaian penyewaan dalam segmen kesejahteraan kediaman,” katanya dalam kenyataan.

Dalam tempoh suku dikaji, keuntungan kasar meningkat 20.1 peratus kepada RM102.6 juta berikutan kos produk import dan kos perkhidmatan yang lebih rendah. Kerugian bersih atas pengurangan nilai instrumen kewangan turut berkurang kepada RM13.5 juta berbanding RM29.4 juta pada suku sebelumnya, disokong prestasi kutipan yang lebih baik.

Dari segi sumbangan segmen, jenama CUCKOO kekal sebagai pemacu utama dengan pendapatan RM875.8 juta atau 79.6 peratus daripada jumlah keseluruhan, manakala segmen CUCKOO Co-Created menyumbang RM221.1 juta.

Susulan kejayaan penyenaraiannya pada Jun 2025, syarikat memperkukuh kedudukan kunci kira-kira apabila ekuiti yang diagihkan kepada pemilik meningkat kepada RM1.11 bilion. Jumlah pinjaman pula berkurang kepada RM139.6 juta selepas pembayaran balik menggunakan hasil tawaran awam permulaan (IPO), menjadikan nisbah penggearan kasar lebih rendah pada 12.6 peratus.

Bagi tahun kewangan 2026, syarikat akan terus memperkukuh kualiti pendapatan melalui pengembangan perniagaan penyewaan, pelancaran cawangan Brandshop ‘cash-and-carry’ serta peluasan rangkaian runcit yang kini merangkumi 240 cawangan di seluruh negara.

Selain itu, syarikat turut merancang memperluas portfolio produk dan memperkukuh keupayaan logistik serta infrastruktur teknologi maklumat bagi meningkatkan kecekapan operasi dan kadar pusing ganti inventori.

Dalam persekitaran kos sara hidup yang mencabar, CUCKOO Malaysia optimis peralihan struktur pengguna ke arah model penyewaan akan menyokong pertumbuhan keuntungan yang lebih stabil dan mampan pada masa hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN