Cadangan ambil alih IJM oleh Sunway berpotensi jejas sentimen pelabur - Utusan Malaysia

Cadangan ambil alih IJM oleh Sunway berpotensi jejas sentimen pelabur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan pengambilalihan IJM Corp Bhd. oleh Sunway Bhd. bernilai RM11 bilion menerusi tawaran sukarela bersyarat pada harga RM3.15 sesaham berpotensi menjejaskan sentimen pelabur serta mengurangkan daya tarikan tawaran pengambilalihan tersebut.

Profesor Madya di i-CATS University College, Kuching, Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, laporan mengenai siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkaitan isu tertentu melibatkan IJM telah menimbulkan sedikit ketidaktentuan pasaran serta volatiliti harga saham syarikat itu.

“Selain isu perdebatan berkaitan pemilikan strategik dan ekuiti bumiputera, terdapat juga pandangan yang menyatakan usaha ini mungkin memberi kesan terhadap pemilikan aset strategik negara.

“Ia terjadi walaupun perkara tersebut masih berada pada peringkat perbincangan dan belum merupakan keputusan rasmi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada 12 Januari lalu, Sunway mencadangkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat untuk membeli keseluruhan 3.51 bilion saham IJM Corp Bhd. pada harga tawaran RM3.15 sesaham.

Pemegang saham IJM yang berminat mempunyai tempoh untuk mempertimbangkan tawaran itu sehingga 5 petang pada 6 April 2026.

Sebelum ini, Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) menolak cadangan itu kerana urus niaga berkenaan akan merugikan kepentingan negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata, cadangan pengambilalihan itu wajar dipertimbangkan untuk ditangguhkan berikutan ketidakpastian yang timbul daripada siasatan yang masih berjalan.

Katanya, sekiranya isu melibatkan SPRM dan LHDN berkembang kepada tindakan yang lebih serius, keadaan itu boleh menjejaskan penilaian semula nilai fundamental IJM serta potensi sinergi selepas pengambilalihan dilaksanakan.

“Selain itu, penasihat bebas dan pemegang saham masih dalam proses menilai tawaran berkenaan dengan badan penasihat bebas IJM dijangka mengeluarkan nasihat rasminya sekitar 16 Mac 2026.

“Selain itu, tempoh tawaran juga masih dibuka sehingga 6 April 2026. Ini menunjukkan masih terdapat ruang untuk penilaian dan rundingan lanjut,” ujarnya.

Tambahnya, sekiranya Sunway atau pihak berkepentingan melihat ruang untuk penambahbaikan tawaran, seperti peningkatan komponen tunai atau premium yang lebih menarik, penangguhan boleh memberi peluang untuk pertimbangan yang lebih menyeluruh.

“Namun, dari sudut peraturan tawaran, selagi semua syarat perundangan dan kelulusan pemegang saham dipenuhi, tidak pasti sama ada penangguhan sepenuhnya akan memberi manfaat yang jelas, terutamanya jika momentum pasaran mula memihak kepada harga tawaran semasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN