PETALING JAYA: Imbangan Akaun Semasa (CAB) Malaysia kekal mencatatkan lebihan sebanyak RM2 bilion pada suku keempat tahun 2025, menjadikan lebihan bagi tahun lalu berjumlah RM31.8 bilion atau 1.6 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pencapaian itu menunjukkan lebihan CAB yang berterusan melebihi dua dekad.
“Prestasi tersebut disokong oleh eksport bersih barangan yang mampan serta lebihan Akaun Perkhidmatan yang lebih kukuh.
“Akaun Barangan merekodkan lebihan RM23.6 bilion, didorong oleh permintaan berterusan terhadap eksport elektrik dan elektronik (E&E), petroleum serta minyak sawit, khususnya dari Amerika Syarikat (AS), Singapura dan China.
“Sementara itu, lebihan Akaun Perkhidmatan melebar kepada RM5.0 bilion, dipacu terutamanya oleh peningkatan dalam terimaan perjalanan serta pertumbuhan eksport perkhidmatan telekomunikasi, komputer dan maklumat (TCI).
“Ia sejajar dengan perkembangan pesat pusat data dan peranan Malaysia yang semakin berkembang dalam infrastruktur digital,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, beliau berkata, Akaun Pendapatan Primer mencatatkan defisit yang lebih besar sebanyak RM23.5 bilion, disebabkan terutamanya oleh peningkatan pendapatan pelaburan yang terakru kepada pelabur asing di Malaysia.
Menurutnya, dari sudut kewangan, Akaun Kewangan beralih kepada aliran masuk bersih sebanyak RM12.3 bilion pada suku tahun keempat, namun secara kumulatif merekodkan aliran keluar bersih RM21.4 bilion bagi 2025, sebahagian besamya disebabkan oleh aliran keluar pelaburan portfolio.
“Pelaburan langsung asing (FDI) meningkat ketara kepada RM27.8 bilion pada suku tahun keempat, menjadikan jumlah tahunan RM53.5 bilion, disalurkan terutamanya ke sektor perkhidmatan, khususnya aktiviti maklumat dan komunikasi serta kewangan.
“Sementara itu, pelaburan langsung di luar negeri (DIA) merekodkan RM2.8 bilion pada suku tahun keempat, menjadikan jumlah aliran keluar tahunan RM7.4 bilion.
“Kedudukan pelaburan antarabangsa (IIP) Malaysia mencatat liabiliti bersih sebanyak RM9.6 bilion pada akhir 2025, dengan jumlah liabiliti melebihi jumlah aset. Rizab antarabangsa pula berjumlah RM509.7 bilion,” ujarnya.
Tambahnya, sektor luar Malaysia kekal berdaya tahan pada 2025, disokong oleh eksport barangan yang kukuh, pemulihan sektor perkhidmatan serta aliran masuk pelaburan langsung yang berterusan meskipun berdepan ketidaktentuan pelaburan portfolio. – UTUSAN










