PETALING JAYA: Pasaran saham tempatan dijangka mampu mencapai paras antara 1,755 hingga 1,800 dalam tempoh terdekat, didorong oleh sentimen positif serta peningkatan keyakinan pelabur terhadap prestasi syarikat tersenarai.
Profesor di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Mustafa Mohd. Hanefah berkata, momentum kenaikan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) disokong oleh keputusan kewangan korporat yang memberangsangkan.
Ujarnya, keputusan kewangan khususnya dalam kalangan syarikat berwajaran tinggi terus menjadi pemacu utama indeks.
“Selain faktor prestasi syarikat, kestabilan politik Malaysia turut dilihat sebagai pemangkin penting kepada aliran masuk dana asing.
“Berbanding beberapa negara ASEAN lain seperti Thailand yang berdepan ketidaktentuan politik dan dasar, Malaysia dilihat menawarkan persekitaran pelaburan yang lebih stabil dan konsisten
“Keadaan ini meningkatkan daya tarikan pasaran tempatan dalam kalangan pelabur institusi serantau dan global, sekali gus menyokong potensi kenaikan indeks ke paras lebih tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambahnya, secara keseluruhan, kombinasi sentimen pasaran yang positif, keyakinan terhadap prestasi korporat serta kestabilan politik domestik dijangka terus menjadi faktor utama yang menyokong hala tuju pasaran saham Malaysia dalam jangka masa terdekat.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, Bursa Malaysia dijangka bergerak sekitar 1,750 hingga 1,755 mata pada minggu depan, didorong oleh pembelian berterusan dalam saham berwajaran tinggi serta sentimen global yang semakin baik.
Jelasnya, kenaikan indeks banyak disokong oleh kaunter-kaunter utama dalam sektor perbankan, telekomunikasi, perladangan dan pembinaan, yang terus menjadi pemacu utama pergerakan indeks.
“Selain faktor domestik, sentimen positif pasaran global turut memainkan peranan penting, khususnya kenaikan saham-saham berkaitan industri teknologi di pasaran antarabangsa.
“Prestasi kukuh sektor teknologi global membantu meningkatkan selera risiko pelabur dan mendorong aliran masuk dana ke pasaran serantau termasuk Malaysia,” katanya.
Pada masa sama, jelasnya, data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lebih baik daripada jangkaan turut menyumbang kepada sentimen optimis pelabur.
“Petunjuk ekonomi yang kukuh memberi gambaran bahawa ekonomi AS kekal stabil walaupun berdepan potensi kenaikan kos perniagaan dan kos sara hidup susulan pelaksanaan tarif import.
“Daya tahan ekonomi AS yang berterusan itu dilihat memberi isyarat positif terhadap prospek ekonomi global secara keseluruhan, sekali gus menyokong momentum kenaikan pasaran saham tempatan dalam jangka masa terdekat,” katanya. – UTUSAN










