KOTA BHARU: Pas akan tersepit sekiranya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama 16 Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyertai parti politik baharu atau ‘rumah baharu’ sebelum masuk semula ke dalam Perikatan Nasional (PN).
Penganalisis politik, Dr. Iskandar Hassan Tan Abdullah berkata, situasi itu memberi kesukaran kepada Pas untuk merangka strategi membentuk gabungan yang kukuh dalam PN memandangkan setiap parti mempunyai matlamat dan agenda tersendiri.
“Pas bakal tersepit di tengah-tengah antara Bersatu dan parti baharu. Sukar untuk PN mencapai persefahaman bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, perkembangan itu berpotensi menimbulkan kecurigaan dalam kalangan pimpinan Bersatu sendiri.
Katanya, situasi dijangka menjadi lebih tegang apabila rundingan pembahagian kerusi dimulakan sekiranya PRU-16 berlaku.
“Hubungan ini menimbulkan permasalahan kepercayaan Bersatu terhadap gabungan PN sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin masih kekal sebagai Presiden Bersatu.
“Risiko sabotaj juga wujud sekiranya perebutan calon berlaku antara Bersatu dan parti baharu dalam penamaan calon PN. Situasi itu membuka laluan kepada Barisan Nasional dan Pakatan Harapan menawan kerusi yang sepatutnya dimenangi PN,” ujarnya.
Semalam, akhbar ini melaporkan Hamzah bersama 16 Ahli Parlimen Bersatu dijangka menyertai parti politik lain atau ‘rumah baharu’ pada minggu depan.
Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hassan berkata, selain wakil rakyat terlibat, platform politik baharu itu bakal disertai ketua-ketua bahagian Bersatu yang telah menyatakan sokongan terhadap Ahli Parlimen Larut.-UTUSAN.










