Bio Eneco perkasa pelaburan hijau di Pantai Timur - Utusan Malaysia

Bio Eneco perkasa pelaburan hijau di Pantai Timur

SULTAN Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (dua, kiri) menyempurnakan gimik pembukaan kilang Bio Eneco Sdn. Bhd. di Gebeng, Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bio Eneco Sdn. Bhd. (Bio Eneco) membuka kilang baharu di Gebeng, Pahang dan muncul sebagai langkah strategik nasional dalam memperkukuh landskap tenaga hijau negara ketika negara berdepan cabaran peralihan tenaga dan tuntutan ekonomi rendah karbon. 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Elridge Energy Holdings Berhad, Yeo Hock Cheong berkata, bio tenaga memainkan peranan krusial sebagai penyelesaian peralihan yang realistik, boleh diskalakan dan tersedia untuk digunakan ketika dunia beralih ke arah tenaga bersih.

Menurutnya, kemudahan terbaharu itu bukan sahaja mengukuhkan keselamatan tenaga, malah berfungsi menukar sisa industri kelapa sawit kepada bahan api boleh diperbaharui bernilai tinggi.

“Kilang ini membolehkan kita menghasilkan sumber tenaga bersih bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa, termasuk Jepun yang mempunyai piawaian kelestarian yang ketat.

“Pemilihan Kawasan Perindustrian Gebeng sebagai lokasi operasi adalah sangat strategik kerana kedudukannya yang berhampiran dengan Pelabuhan Kuantan. Ini sekali gus menyokong kecekapan logistik, eksport berskala besar dan kebolehpercayaan bekalan jangka panjang,” katanya di sini.

Perasmian kilang berteknologi tinggi itu yang disempurnakan oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menandakan komitmen jitu sektor swasta dalam menyokong agenda Ekonomi MADANI serta sasaran kelestarian negara.

Mengulas mengenai impak ekonomi wilayah, Hock Cheong berkata, projek bio tenaga tersebut dianggap sebagai pemangkin baharu kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di Pantai Timur.

Jelas beliau, pelaburan itu turut mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan, membangunkan rantaian bekalan tempatan serta memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global tenaga boleh diperbaharui.

“Elridge Energy akan terus memperluas kapasiti tenaga hijau negara secara berdisiplin, sejajar dengan keperluan pasaran jangka panjang dan keutamaan keselamatan tenaga nasional,” ujarnya.

Fasiliti di Gebeng ini merupakan kilang ketiga milik syarikat tersebut selepas operasi di Telok Gong dan Kapar, Selangor. 

Syarikat itu juga merancang untuk terus melebarkan sayapnya dengan pembukaan kilang seterusnya di Pasir Gudang, Johor dalam masa terdekat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN