PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) melancarkan edisi terhad Kad Debit-i dan Kad Kredit-i Visa FIFA World Cup 2026 sempena kejohanan tersebut.
Ini merupakan kerjasama strategik bersama Visa, koleksi eksklusif ini menampilkan rekaan bertemakan kejohanan yang membolehkan para peminat membawa kehangatan Piala Dunia 2026.
Bermula 1 Mac hingga 30 April 2026 ini, kempen tersebut menawarkan peluang kepada rakyat Malaysia untuk memenangi tiket ke perlawanan separuh akhir Piala Dunia FIFA 2026 di Amerika Syarikat.
Bank menawarkan tiket penerbangan pergi dan balik, layanan hospitaliti, wang saku bernilai RM10,000 dan barangan eksklusif Piala Dunia FIFA 2026 untuk 400 pemegang kad terawal.
Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Perbankan Runcit Bank Islam, Mizan Masram berkata, bola sepak menyatukan rakyat merentas generasi dan budaya dan syarikat membawa semangat hebat dan bermakna ini kepada rakyat Malaysia.
“Kad edisi terhad ini membolehkan pelanggan kami membawa sebahagian daripada semangat itu bersama mereka, menjadikan setiap sentuhan kad bagaikan satu langkah lebih dekat dengan kemeriahan Piala Dunia FIFA 2026.
“Walaupun peminat bola sepak sememangnya akan menghargai koleksi ini, ganjaran, ciri keselamatan dan kemudahan berfokuskan digital pada kad ini mencerminkan komitmen kami untuk memenuhi gaya hidup pelanggan yang pelbagai,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kerjasama dengan Visa terus memainkan peranan penting ketika Bank Islam memperkukuhkan penawaran digital dan ekosistemnya, selaras dengan pembangunan ekosistem tanpa tunai yang semakin pesat di Malaysia.
“Selain meningkatkan pengalaman pelanggan, kerjasama ini mempercepatkan misi Bank Islam untuk membina landskap kewangan yang lebih inklusif, inovatif dan berdaya digital bagi Malaysia.
“Bank Islam mensasarkan untuk menyambut 5,000 pemegang Kad Kredit-i baharu dan 20,000 pemegang Kad Debit-i baharu sepanjang tempoh kempen ini,” ujarnya.
Pengurus Negara Visa Malaysia, Previn Pillay berkata, melalui kerjasama syarikat dengan Bank Islam, Visa membolehkan peminat bukan sahaja meraikan kejohanan global dan menzahirkan cinta mereka terhadap sukan bola sepak tetapi juga membayar dengan yakin, lancar dan selamat setiap hari.
Kad edisi terhad ini direka bukan sahaja untuk peminat bola sepak tetapi juga bagi pengguna harian yang menginginkan ganjaran, kemudahan dan keselamatan.
Pemegang Kad Kredit berpeluang menikmati ganjaran perbelanjaan sehingga lima peratus pulangan tunai untuk transaksi dalam talian, bil automatik, barangan runcit dan makan, akses kepada GoFlexi dan GoCash untuk pelan ansuran mudah, pemindahan baki sifar peratus untuk pemegang kad baharu sehingga 30 April 2026.
Selain itu, ia juga menawarkan perlindungan kemalangan peribadi semasa perjalanan di seluruh dunia sehingga RM1 juta. – UTUSAN










