AME Elite bina fasiliti penerbangan RM214.1 juta di KLIA Aeropolis

AME Elite bina fasiliti penerbangan RM214.1 juta di KLIA Aeropolis

IBU pejabat AME.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AME Elite Consortium Berhad memperoleh kontrak bernilai RM214.1 juta untuk membina fasiliti khusus ujian enjin pesawat di KLIA Aeropolis, Sepang, sekali gus mengukuhkan penglibatannya dalam rantaian pembangunan industri aeroangkasa negara.

Kontrak itu dianugerahkan oleh KLIA Aeropolis Sdn. Bhd., anak syarikat Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), kepada anak syarikat milik penuh AME Elite, AME Construction Sdn. Bhd., bagi pembinaan Test Cell Facility (Fasa 1).

Menurut satu kenyataan, skop projek merangkumi kerja pembinaan bangunan utama bagi fasiliti ujian enjin pesawat yang memerlukan spesifikasi teknikal dan piawaian keselamatan yang ketat.

Projek tersebut dijadualkan siap dalam tempoh 12 bulan bermula Februari 2026 hingga Januari 2027.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Pengarah Eksekutif AME Elite Consortium Berhad, Dylan Tan Teck Eng berkata, penganugerahan projek itu menjadi pencapaian penting buat kumpulan berkenaan dalam segmen pembinaan berteknologi tinggi.

“Kepercayaan yang diberikan ini membuktikan keupayaan teknikal kami serta menambah rekod pencapaian projek berskala besar. Ia juga selari dengan pelan tindakan nasional untuk memperkembangkan industri aeroangkasa,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, asas kukuh dalam pembinaan dan kejuruteraan yang disokong model integrasi perniagaan membolehkan syarikat melaksanakan pelbagai projek berkeperluan khusus, termasuk kemudahan logistik, farmaseutikal, pembuatan serta fasiliti penerbangan dan taman perindustrian.

“Kontrak tersebut turut mengesahkan keupayaan syarikat menyiapkan projek berprestasi tinggi dengan pantas di bawah piawaian keselamatan yang ketat, ketika permintaan terhadap bangunan industri berteknologi tinggi semakin meningkat.

“AME Elite menjangkakan projek berkenaan akan menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027.

“Dengan kontrak terbaharu itu, divisyen pembinaan dan kejuruteraan AME Elite telah memperoleh projek luaran bernilai lebih RM600 juta sejak permulaan tahun kewangan semasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN