KUALA LUMPUR: Benua Afrika bakal menjadi penentu kepada dinamik permintaan minyak sawit global bagi dekad akan datang, sekali gus menjadi pasaran strategik buat Malaysia untuk mengukuhkan penguasaan pasaran di luar destinasi tradisional.
Ketua Pegawai Eksekutif FFM Berhad merangkap Ketua Pegawai Kelestarian Wilmar International Limited, Jeremy Goon berkata, dengan populasi Afrika yang dijangka mencecah 2.5 bilion menjelang 2050, rantau itu menawarkan pertumbuhan permintaan struktural yang sangat kukuh.
Menurutnya, Malaysia mempunyai kelebihan kompetitif bukan sekadar untuk mengeksport produk, tetapi juga mengeksport sistem, piawaian dan pengalaman industri menerusi pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
“Afrika bukan sekadar destinasi eksport seterusnya, tetapi ia adalah pasaran yang perlu dibina. Pemenang dalam pasaran ini adalah mereka yang melabur lebih awal, membina perkongsian dan menyokong pembangunan pasaran, bukannya sekadar mengejar volum jualan.
“MSPO menyediakan garis dasar kritikal untuk aspek legaliti, kebolehkesanan dan kemampanan yang amat relevan di pasaran pertumbuhan baharu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi panel ‘The Next Decade for Malaysian Palm Oil’ bersempena Persidangan dan Pameran Tinjauan Harga Minyak Sawit dan Laurik (POC) 2026 anjuran Bursa Malaysia di sini, semalam.
Mengulas mengenai cabaran industri, Jeremy berkata, struktur kos minyak sawit kini telah berubah secara fundamental disebabkan faktor pematuhan, kekangan buruh, adaptasi iklim dan turun naik hasil.
Ujarnya, kos-kos ini bersifat kekal dan bukannya kitaran, yang memerlukan industri bertindak pantas meningkatkan produktiviti bagi memastikan minyak sawit kekal kompetitif berbanding minyak sayuran lain.
“Persoalan sebenar adalah bagaimana kita mengekalkan proposisi nilai minyak sawit dari segi kemampuan, fungsi dan skala sambil menyerap kos struktur yang lebih tinggi ini.
“Jika kita tersilap langkah, permintaan mungkin tidak akan runtuh dalam sekelip mata, tetapi ia akan mula berpecah atau terbantut, dan keadaan ini adalah lebih sukar untuk dipulihkan,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, trend penurunan hasil purata minyak sawit negara daripada 3.62 tan kepada 3.35 tan setiap hektar dalam tempoh sedekad lalu, berbanding minyak pesaing yang terus menunjukkan peningkatan.
Ujarnya, daya tahan jangka panjang minyak sawit Malaysia akan bergantung kepada sejauh mana ia digunakan dalam segmen khusus yang mampu menyerap kos tinggi.
“Pertumbuhan kini semakin tertumpu kepada sektor lemak khusus, bahan makanan, biokimia dan biofuel. Segmen ini mampu menyerap kos lebih tinggi dengan lebih efektif berbanding kegunaan komoditi biasa.
“Bagi Malaysia untuk terus memimpin, fokus kita mestilah kepada mengekalkan daya tahan permintaan dan bukannya sekadar mengejar harga tinggi semata-mata,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holdings Berhad, Datuk Fakhrunniam Othman berkata, penerokaan tanah bukan lagi pemacu utama pertumbuhan, sebaliknya masa depan industri terletak pada penambahbaikan baharu, pengoptimuman operasi dan kepelbagaian hiliran.
Bagaimanapun, beliau berkata, terdapat kebimbangan terhadap sektor makanan dan perladangan negara yang kini berdepan isu kekurangan bakat yang serius berikutan kurangnya minat dalam kalangan belia.
“Generasi muda melihat industri ini sebagai kasar, sukar dan mempunyai status yang lebih rendah berbanding bidang teknologi atau e-dagang.
“Sehubungan itu, saya mengajak penggubal dasar dan pemain industri untuk bekerjasama dalam menjenama semula, memperkasakan dan memodenkan industri ini agar aliran bakat dapat dipulihkan melalui generasi muda,” jelas beliau.
Tambahnya, strategi sektor perladangan bukan sekadar mengenai produktiviti semata-mata, tetapi juga tentang membina daya tahan, mewujudkan kualiti serta menyokong pembangunan modal insan dan pembinaan negara. – UTUSAN










