PETALING JAYA: AEON Co. (M) Bhd. (AEON) memeterai perjanjian strategik bersama KIP Real Estate Investment Trust (KIP REIT) bagi projek pembesaran AEON Mall Kinta City di Perak yang membabitkan nilai pembangunan RM160 juta.
Melalui perjanjian pembinaan tersebut, AEON selaku penyewa akan meneruskan tempoh penyewaan jangka panjang di pusat beli-belah berkenaan, merangkumi ruang sedia ada serta kawasan tambahan yang bakal dibina.
Pengarah Urusan AEON, Naoya Okada berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat untuk terus berkembang di pasaran serantau utama serta keyakinan terhadap potensi AEON Mall Kinta City.
“Pembesaran ini bakal memperkenalkan ruang runcit tambahan yang sememangnya amat dinantikan oleh rakan niaga kami. AEON melabur dalam pembangunan yang akan memperkukuh asas pusat beli-belah ini agar kekal relevan dengan keperluan gaya hidup pelanggan yang sentiasa berubah,” katanya dalam satu kenyataan.
Perjanjian itu turut memperuntukkan pelanjutan tempoh pajakan selama 25 tahun bermula 29 September 2030 sehingga 28 September 2055, sekali gus menjamin keterlihatan pendapatan jangka panjang bagi KIP REIT.
KIP REIT menerusi pemegang amanahnya, Pacific Trustees Berhad akan membiayai sepenuhnya kos pembangunan tersebut sebagai sebahagian daripada inisiatif penambahbaikan aset (AEI) syarikat, yang dijangka siap sepenuhnya menjelang suku keempat 2027.
Projek pembesaran ini bakal menyaksikan jumlah keluasan boleh sewa AEON daripada KIP REIT meningkat sebanyak 27 peratus iaitu daripada 530,000 kaki persegi kepada kira-kira 675,000 kaki persegi.
Sementara itu, keluasan bersih boleh sewa (NLA) pusat beli-belah tersebut akan berkembang sebanyak 30 peratus kepada 580,000 kaki persegi.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Pengurus KIP REIT, Valerie Ong berkata, AEON Mall Kinta City telah menjadi mercu tanda sektor peruncitan di Ipoh selama hampir 30 tahun.
Katanya, kedudukan pusat beli-belah tersebut yang strategik dan dikelilingi oleh kawasan perumahan matang menjadikannya sebahagian daripada kehidupan harian komuniti setempat.
“Perluasan ini bukan sekadar menambah ruang, tetapi membayangkan semula pengalaman runcit agar lebih bersedia untuk masa hadapan. Kami mahu menghargai sejarah pusat beli-belah ini sambil membina legasi runcit yang lebih kuat untuk generasi akan datang,” katanya.
Projek tersebut dijangka meningkatkan daya tarikan pengunjung menerusi kepelbagaian campuran penyewa, kemudahan yang lebih baik serta susun atur yang lebih efisien bagi memastikan kemampanan aset jangka panjang. – UTUSAN










