PETALING JAYA: Sektor industri Malaysia kini memasuki fasa kritikal apabila 57 peratus daripada keseluruhan eksport negara mula berdepan impak langsung penguatkuasaan penuh Mekanisme Pelarasan Sempadan Karbon (CBAM) oleh Kesatuan Eropah (EU) tahun ini.
Pengurus Besar Bahagian Teknikal Pemampat Atlas Copco Malaysia & Singapura, Khalid Shaikh berkata, pelaksanaan mekanisme itu menuntut syarikat tempatan untuk segera menukar status kecekapan tenaga daripada sekadar ‘kepatuhan’ kepada ‘kelebihan kompetitif’ bagi mengelakkan kerugian pasaran global.
“Kita tidak lagi boleh melihat kecekapan tenaga sebagai pilihan. Dalam landskap perdagangan 2026, kecekapan tenaga adalah penentu sama ada barangan kita kekal kompetitif atau tersisih di pasaran antarabangsa.
“Kecekapan tenaga kekal sebagai tuas paling pantas dan kos-efektif untuk mencapai sasaran sifar bersih kerana ia memberikan hasil yang boleh diukur hari ini, tanpa perlu menunggu garis masa infrastruktur jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sesi temu bual mengenai hala tuju kelestarian industri negara di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Khalid berkata, menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), kecekapan tenaga terbukti menawarkan pulangan tertinggi bagi setiap ringgit yang dilaburkan dengan rekod penjimatan kumulatif melebihi 39,000 GWh yang bernilai RM10.5 bilion setakat ini.
“Data ini bercakap dengan sendirinya. Dengan mengoptimumkan penggunaan tenaga dalam sistem pemampat udara dan pam vakum, industri bukan sahaja memotong emisi tetapi mengurangkan kos operasi secara drastik.
“Penggunaan sistem pintar seperti platform pemantauan data SMARTLINK yang dilengkapi penderia Internet Pelbagai Benda (IoT) dan analitik Kecerdasan Buatan (AI) kini membolehkan syarikat memantau prestasi mesin secara masa nyata serta mencapai sehingga 50 peratus penjimatan tenaga,” ujarnya.
Mengulas mengenai ketahanan tenaga, beliau berkata, ketidaktentuan harga global dan gangguan geopolitik tahun ini menjadikan pengurusan sekuriti tenaga secara mampan di peringkat tempatan amat kritikal bagi melindungi industri daripada kejutan pasaran.
“Sektor swasta perlu berani melabur dalam inovasi. Di bawah NETR, terdapat potensi pelaburan sehingga RM1.3 trilion menjelang 2050 dan teknologi hijau sahaja dijangka menyumbang RM220 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
“Walau bagaimanapun, teknologi sahaja tidak mencukupi. Kita perlu mengutamakan pembangunan modal insan dan melatih semula pasukan dalam pengurusan tenaga digital bagi memastikan pertumbuhan ini mampan untuk dekad-dekad akan datang,” katanya. – UTUSAN










