PETALING JAYA: Bursa Malaysia dijangka meneruskan momentum pertumbuhan di paras 1,700 mata dengan sektor utiliti menjadi tumpuan utama pada tahun ini.
Pada 5 petang semalam, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.25 mata kepada 1,715.16 daripada 1,710.91 pada Rabu.
Indeks penanda aras dibuka rendah 0.56 mata pada 1,710.35 berikutan aktiviti mengambil untung.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 582 berbanding 503, manakala 564 kaunter tidak berubah dan 989 tidak diniagakan.
Jumlah dagangan sebanyak 3.25 bilion saham bernilai RM3.32 bilion.
M+ Plus Global by Malacca Securites berkata, Wall Street ditutup lebih rendah pada Rabu, ditekan oleh saham sektor perbankan dan teknologi.
Katanya, sektor perbankan merosot walaupun mencatatkan keputusan pendapatan yang lebih baik daripada jangkaan oleh Bank of America dan Citigroup namun, JPMorgan memberi amaran mengenai potensi risiko yang timbul daripada cadangan had ke atas kadar faedah kad kredit.
“Pada masa sama, data inflasi yang bercampur-campur serta jualan runcit yang lebih kukuh daripada jangkaan telah mengukuhkan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) akan kekal berhati-hati dalam melaksanakan pemotongan kadar faedah.
“Saham teknologi turut mengalami penurunan susulan laporan mengenai sekatan import China terhadap cip canggih Nvidia. Kami percaya sentimen pasaran akan kekal berhati-hati dalam jangka terdekat, dipengaruhi oleh musim pengumuman keputusan kewangan sektor perbankan serta kejelasan lanjut mengenai hala tuju dasar Fed,” katanya.
Firma penyelidikan berkata, susulan prestasi negatif pasaran AS, pihaknya menjangkakan aktiviti pengambilan untung di bursa tempatan selepas kenaikan berterusan kebelakangan ini.
“Namun begitu, kami percaya paras sokongan masih berada di atas 1,700 mata. Dari segi sektor, kami menjangkakan sektor utiliti kekal menjadi tumpuan utama pada tahun ini.
“Ini memandangkan ledakan pusat data yang berterusan memerlukan penggunaan air yang besar bagi tujuan penyejukan pelayan, sekali gus berpotensi menghidupkan semula minat belian terhadap saham seperti Ranhill Utilities Berhad.
“Sementara itu, apabila pembinaan pusat data semakin rancak, kami percaya fokus tema pelaburan mungkin beralih kepada segmen mekanikal dan elektrikal (M&E), yang dijangka memberi manfaat kepada saham seperti MN Holdings Berhad, Powerwell Holdings Berhad, Jati Tinggi Group Berhad dan Southern Cable Group Berhad,” ujarnya.
Sementara itu, CGS-CIMB Research berkata, indeks penanda aras ditutup pada paras tertinggi baharu dalam tempoh lebih enam tahun, menandakan sentimen positif masih menguasai pasaran buat masa ini.
“Kami tidak melihat sebarang tanda jelas bahawa trend menaik ini akan berubah dalam masa terdekat. Namun, sedikit penurunan sementara mungkin berlaku bagi membolehkan pasaran menstabilkan kenaikan yang telah dicapai.
“Rintangan seterusnya dijangka berada pada paras 1,719 hingga 1,725 mata, manakala sebarang penurunan dijangka disokong pada paras 1,700 dan 1,684 mata.
“Trend kenaikan semasa juga disokong oleh pergerakan purata harga yang terus meningkat, yang lazimnya menjadi petunjuk sokongan kepada pasaran,” ujarnya. – UTUSAN










