Sunway Healthcare dapat kelulusan ke Bursa Malaysia - Utusan Malaysia

Sunway Healthcare dapat kelulusan ke Bursa Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia Securities Berhad meluluskan permohonan Sunway Berhad untuk menetapkan kadar minimum pegangan saham awam sebanyak 18 peratus bagi penyenaraian Sunway Healthcare Holdings Berhad (SHH) di Pasaran Utama.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Sunway berkata, keputusan itu dimaklumkan menerusi surat Bursa Securities bertarikh 22 Januari 2026 dan adalah selaras dengan keperluan Perenggan 8.02(1) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Menurut Sunway, kelulusan tersebut membolehkan SHH meneruskan cadangan penyenaraian walaupun sebaran pegangan saham awam berada di bawah paras kebiasaan 25 peratus. 

Bagaimanapun, SHH dinasihatkan supaya menggunakan usaha terbaik untuk meningkatkan peratusan pegangan saham awam kepada 25 peratus selepas penyenaraian.

“Kelulusan ini memberi fleksibiliti kepada struktur penyenaraian SHH, namun syarikat kekal komited untuk memperluaskan pegangan awam sejajar dengan amalan tadbir urus pasaran modal,” menurut kenyataan itu.

Pengumuman tersebut dibuat bagi merujuk kepada makluman terdahulu berkaitan cadangan penyenaraian SHH yang telah diumumkan masing-masing pada 29 Ogos 2025, 26 November 2025 dan 5 Disember 2025.

SHH, yang dijangka menjadi antara tawaran awam permulaan (IPO) terbesar tahun ini, telah menerima kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti pada 5 Disember bagi cadangan penyenaraiannya yang disasarkan pada suku pertama 2026.

IPO tersebut melibatkan sehingga 1.97 bilion saham, yang merangkumi tawaran untuk jualan sehingga 1.39 bilion saham sedia ada (mewakili 12.1 peratus daripada modal saham yang diperbesar) dan terbitan awam sebanyak 575 juta saham baharu (atau 5 peratus) kepada pelabur runcit dan institusi.

SHH kini merupakan syarikat usaha sama yang dimiliki sebanyak 84 peratus oleh Sunway City Sdn Bhd, iaitu anak syarikat milik penuh Sunway, manakala baki 16 peratus pegangan lagi dipegang oleh Greenwood Capital Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura.

Menjelang penyenaraian tersebut, SHH akan melaksanakan pecahan saham pra-IPO, yang akan meningkatkan jumlah saham diterbitkannya daripada 1.2 bilion kepada 10.9 bilion tanpa memberi sebarang kesan kepada modal sahamnya. 

Sunway City seterusnya akan mengagihkan saham tersebut kepada Sunway melalui dividen-dalam-spesie (dividend-in-specie).

Hasil daripada bahagian tawaran untuk jualan akan digunakan untuk mengurangkan pinjaman dan menyokong modal kerja. 

Selain itu, hasil daripada terbitan awam pula akan digunakan untuk membiayai pembesaran hospital, pembinaan hospital baharu, serta penebusan sebahagian nota jangka sederhana Islam.

Cadangan penyenaraian SHH di Pasaran Utama Bursa Malaysia dilihat sebagai langkah strategik Sunway bagi membuka nilai perniagaan penjagaan kesihatan kumpulan itu, di samping memperkukuh kedudukan kewangannya untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang dalam sektor kesihatan.

Makluman itu diumumkan oleh Maybank Investment Bank Berhad dan AmInvestment Bank Berhad bagi pihak Lembaga Pengarah Sunway. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN