Sektor tenaga boleh Baharu dijangka lebih rancak pada suku pertama 2026

Sektor tenaga boleh Baharu dijangka lebih rancak pada suku pertama 2026

Projek Solar Terapung Hibrid Hidro (HHFS) dan Hab Hidrogen Hijau di Terengganu. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor tenaga boleh baharu Malaysia dijangka memasuki fasa yang lebih rancak pada suku pertama 2026, didorong oleh pelbagai inisiatif kerajaan dan permintaan tenaga yang semakin meningkat, khususnya daripada pusat data, menurut Kenanga Research. 

Firma penyelidikan itu menjangkakan kerajaan akan melancarkan bidaan bagi pusingan keenam program Solar Skala Besar (LSS6) dalam tempoh tersebut. 

“Langkah ini akan memastikan kesinambungan pemberian kontrak pembinaan LSS, dengan projek LSS5 dan LSS5+ dijangka memasuki fasa anugerah pembinaan dalam masa terdekat. 

“Secara keseluruhan, projek LSS5, LSS5+ dan skim CRESS dianggarkan mampu membuka peluang kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai sekurang-kurangnya RM15 bilion, manakala LSS6 pula diunjurkan menjana peluang tambahan sekitar RM6 bilion bagi kapasiti bidaan sehingga 2 gigawatt,” katanya dalam nota penyelidikan.

Dalam segmen runcit, pendedahan terperinci mengenai Program Tindakan Peralihan Dipercepat Solar (Solar ATAP), yang menggantikan program NEM 3.0 yang telah tamat tempoh, dilihat sebagai pemangkin kepada pemulihan momentum penggunaan tenaga solar.

“Dengan permohonan dibuka mulai 1 Januari 2026, program ini dijangka menggalakkan semula penyertaan pengguna runcit,” katanya. 

Selain solar berskala besar, aktiviti pembidaan juga dijangka meningkat bermula Februari 2026 dengan pembukaan kuota tambahan sebanyak 300 megawatt di bawah skim Tarif Galakan (Feed-in Tariff). 

“Inisiatif ini selari dengan usaha menyeluruh kerajaan untuk mempercepatkan pencapaian sasaran tenaga hijau negara,” katanya.

Tenaga Nasional Bhd. (TENAGA) pula mencatat paras tertinggi baharu dalam jualan tenaga, disokong oleh keperluan daripada pusat data berkapasiti keseluruhan 7.1 gigawatt merangkumi 49 projek.

Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) dilihat sebagai pilihan menarik kepada pengendali pusat data, khususnya pelanggan voltan ultra tinggi, bagi mengunci bekalan tenaga jangka panjang pada kadar kompetitif. Setakat Jun 2025, nilai komitmen di bawah CRESS telah mencecah 1.3 gigawatt.

Kenanga Research turut menjangkakan pertumbuhan pusat data akan memberi limpahan manfaat kepada pemain berkaitan seperti pembekal peralatan suis gear dan penyelesaian kuasa, termasuk segmen ELP dan EPCC. 

“Keupayaan pelaksanaan yang kukuh serta kebolehan untuk berkembang pantas melalui kerjasama strategik dikenal pasti sebagai faktor utama kejayaan pemain industri.

“Secara keseluruhan, sektor tenaga boleh baharu masih berada dalam fasa pertumbuhan pesat, dengan syarikat-syarikat di bawah liputan penganalisis diunjurkan mencatat pertumbuhan kumulatif sekitar 26 peratus pada tahun kewangan 2026. 

“Justeru, penilaian yang lebih tinggi pada nisbah 20 hingga 30 kali pendapatan dilihat masih wajar. Pendirian ‘overweight’ terhadap sektor ini dikekalkan, disokong oleh prospek pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta perbincangan rang undang-undang perubahan iklim, termasuk potensi pelaksanaan cukai karbon, yang dijangka berlangsung pada sidang Parlimen pertama 2026,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN