Segmen rumah mampu milik pacu sektor hartanah 2026

Segmen rumah mampu milik pacu sektor hartanah 2026

GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMAJU hartanah kini beralih secara agresif kepada produk dalam julat RM300,000 hingga RM500,000 berikutan permintaan yang paling besar dalam kalangan keluarga muda dan profesional bandar.

Pengarah Urusan IM Global Property Consultants Sdn. Bhd., PMgr Sr Ishak Ismail berkata, segmen rumah mampu milik bukan sekadar pelengkap dalam dalam sektor hartanah, tetapi merupakan pemacu utama. 

Katanya, hartanah Malaysia dijangka terus berada dalam fasa optimis dan berhati-hati pada 2026, dengan momentum pemulihan yang stabil sejak setahun lalu dijangka berterusan.

“Secara keseluruhan, jumlah transaksi hartanah diunjurkan berkembang antara tiga peratus hingga lima peratus, dipacu terutamanya oleh permintaan domestik yang kekal sebagai tulang belakang pasaran, khususnya dalam kalangan pembeli untuk kediaman sendiri.

“Pembeli tempatan masih mendominasi pasaran. Segmen rumah mampu milik pula bukan lagi sekadar pelengkap, sebaliknya menjadi pemacu utama dari segi volum transaksi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Ishak berkata, pertumbuhan tahun ini didorong oleh gabungan faktor makroekonomi dan dasar fiskal yang lebih jelas.

Katanya, pengekalan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras yang stabil membolehkan pembeli membuat perancangan kewangan jangka panjang dengan lebih yakin, sekali gus mengurangkan risiko kegagalan bayaran balik dan meningkatkan kelayakan pinjaman.

“Sementara itu, tahun awal pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dijangka memberi sentimen positif kepada pasaran, khususnya melalui penekanan terhadap projek penjanaan semula bandar dan penyediaan perumahan bersepadu.

“Pemulihan sektor industri serta kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) pada 2025 mula memberi kesan limpahan kepada pendapatan isi rumah, walaupun peningkatannya ma­sih sederhana berbanding kenaikan harga hartanah,” ujarnya.

Mengulas soal perumahan mampu milik, Ishak berkata, pasaran masih berdepan isu ketidakpadanan antara penawaran dan permintaan sebenar, khususnya dari segi lokasi.

“Masalah utama bukan kekurangan unit secara keseluruhan, tetapi unit yang dibina tidak berada di lokasi strategik berhampiran pusat pekerjaan atau mempunyai aksesibiliti yang baik.

“Pembeli rumah pertama masih berdepan kekangan bayaran pendahuluan dan nisbah khidmat hutang (DSR), walaupun terdapat skim bantuan pembiayaan. Laporan Khaza­nah Research Institute (KRI) turut menunjukkan nisbah harga rumah kepada pendapatan di bandar utama masih berada pada tahap tidak mampu milik,” jelasnya.

Dari segi geografi, Ishak berkata, Johor, Selangor dan Pulau Pinang dijangka kekal sebagai negeri tumpuan utama pasaran hartanah pada 2026.

Beliau berkata, Johor dilihat semakin menonjol didorong pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapore (JS-SEZ) serta projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang menghampiri fasa siap, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap hartanah bertingkat tinggi dan komersial di Johor Bahru.

“Selangor pula kekal sebagai hab ekonomi dan pe­nyumbang terbesar transaksi, dengan tumpuan pembangunan beralih ke koridor Greater Kuala Lumpur seperti Semenyih, Elmina dan Sepang, yang menawarkan pembangunan perbandaran terancang.

“Sementara itu, kekurangan tanah di Pulau Pinang mendorong pertumbuhan pesat di kawasan tanah besar serta projek ikonik seperti Silicon Island, yang menarik pelaburan sektor tek­nologi dan meningkatkan nilai hartanah sekitarnya,” ujar­nya.

Namun begitu, Ishak mengingatkan pemain industri agar berwaspada terhadap beberapa cabaran utama, termasuk kenaikan kos pembinaan, peningkatan kos buruh serta jurang kemampuan membeli rumah akibat kenaikan harga yang tidak seiring dengan pertumbuhan gaji.

“Jika harga tidak diletakkan secara realistik, pasaran berisiko berdepan isu lebihan unit tidak terjual.

“Keupayaan pemaju menyesuaikan strategi dengan realiti pasaran dan keperluan kemampuan pembeli akan menjadi faktor penentu daya tahan sektor hartanah pada 2026,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN