PETALING JAYA: Ringgit dijangka didagangkan di bawah paras RM4 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) buat kali pertama dalam tempoh hampir lapan tahun, minggu depan.
Ia susulan pengukuhan mata wang tempatan di akhir dagangan minggu ini kepada 4.0020/0080, selepas dibuka kukuh pada 4.0285/0440 berbanding 4.0370/0415 pada Khamis.
Kali terakhir ringgit diniagakan di bawah paras RM4 berbanding dolar AS adalah pada 18 Jun 2018, pada RM3.9978.
Sementara itu, pergerakan harga emas terus menarik perhatian apabila menghampiri AS$5,000 (RM20,195) seauns atau RM712.34 segram, iaitu pada AS$4,957 (RM20,020) seauns atau RM706.21 segram pada pukul 3 petang semalam.
Lonjakan harga logam berharga itu mencerminkan permintaan kukuh terhadap aset lindung nilai di tengah ketidaktentuan global.
Pensyarah Kanan Ekonomi, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Abdul Rais Abdul Latiff berkata, pergerakan ringgit dijangka kekal stabil dalam julat sekitar RM3.98 hingga 3.95 berbanding dolar AS pada minggu hadapan, bergantung kepada perkembangan pasaran global dan sentimen pelabur.
“Pengukuhan ringgit itu memberi isyarat keyakinan pasaran terhadap kestabilan ekonomi negara, apabila kadar dasar semalaman (OPR) kekal pada paras 2.75 peratus dengan inflasi masih terkawal.
“Apabila OPR kekal dan inflasi tidak menunjukkan tekanan mendadak, ia mengurangkan risiko penurunan nilai ringgit serta membantu mengekalkan aliran masuk pelaburan asing ke dalam pasaran bon dan ekuiti tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas mengenai emas, beliau berkata, pergerakan harga emas dilihat relevan sebagai aset lindung nilai terhadap risiko global.
“Walaupun pengukuhan ringgit boleh mengekang kenaikan harga emas terhadap denominasi ringgit, permintaan terhadap logam berharga itu dijangka kekal stabil.
“Emas tetap menjadi pilihan pelabur yang mahu melindungi nilai aset mereka, terutama apabila pasaran dunia masih menghadapi ketidakpastian. Namun, harga emas dalam ringgit juga bergantung kepada kekuatan mata wang tempatan,” katanya.
Sementara itu, Pakar Ekonomi, Dr. Barjoyai Bardai berkata, pengukuhan ringgit menunjukkan trend pemulihan yang mencerminkan asas ekonomi yang semakin kukuh.
“Berdasarkan unjuran semasa, ringgit dijangka terus mengukuh kepada sekitar RM3.99 menjelang akhir Januari ini sebelum meneruskan trend peningkatan secara berperingkat.
“Selepas itu, ringgit dijangka terus meningkat sehingga hujung tahun sekitar RM3.60 pada Disember 2026,” katanya.
Tambah beliau, pergerakan mata wang tempatan itu masih bergantung kepada perkembangan ekonomi global khususnya dasar dan prestasi semasa di AS.
“Nilai dolar AS juga dinamik. Presiden AS, Donald Trump ketika ini sedang mengambil beberapa langkah untuk mengukuhkan nilai mata wang mereka dan ini akan memberi kesan secara langsung kepada ringgit,” tambahnya.
Dalam pada itu, Barjoyai berkata, prestasi ekonomi domestik yang semakin baik menjadi faktor penting menyokong ringgit, khususnya dari segi peningkatan pelaburan serta perdagangan antarabangsa.
“Malaysia menunjukkan peningkatan yang besar dalam aspek ekonomi, sama ada dari sudut pelaburan mahupun perdagangan antarabangsa dan ini memberi kesan positif kepada ringgit,” katanya. – UTUSAN










