Proton Saga 2026: Sedia dominasi pasaran?

Proton Saga 2026: Sedia dominasi pasaran?

PROTON Saga baharu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETELAH sekian lama Proton mendiamkan diri dari melakukan perubahan besar pada model terlaris mereka iaitu Proton Saga, kini model generasi terbaharu mereka itu dilihat sebagai senjata baharu yang dipertingkatkan untuk terajui pasaran tempatan.

Ini mungkin dapat dilihat penerimaan masyarakat tempatan terhadap model baharu itu dengan mencatatkan lebih 30,000 unit tempahan dalam tempoh satu bulan bila tempahan dibuka.

Sambutan ini menunjukkan pengguna mahukan suatu pembaharuan yang seiring dengan arus pemodenan automotif terkini walaupun ia bukanlah suatu yang baharu, tetapi apa yang boleh dikatakan, ‘dengan harga begini, pengguna dah dapat banyak ciri moden’.

Ini mungkin dapat diterjemahkan daripada maklum balas dan pandangan penulis hasil dari sesi pandu uji media Proton Saga dari Royal Belum Resort di Gerik, Perak menuju ke Proton Centre of Excellence di Shah Alam.

Reka bentuk Proton dah tidak kedekut

Satu perkara yang jelas ada pada Saga baharu ini adalah gaya yang lebih segar dan moden sesuai untuk lapisan masyarakat.

Kini Saga baharu menggunakan keseluruhan pencahayaan lampu utama depan dan belakang jenis LED penuh, sekali gus memberi rupa yang tidak membosankan atau lapuk.

Pada pandangan penulis, walaupun ia suatu yang subjektif untuk menyentuh mengenai reka bentuk, tapi apa yang dilihat dari sentuhan gaya pada Saga baharu ini bukanlah suatu yang tangkap muat.

LAMPU utama depan dan belakang jenis LED penuh.

Pada paras harga bawah RM50,000, kesemua varian Saga menerima pencahayaan pada bahagian lampu utama jenis projektor LED, manakala untuk dua varian tertinggi (Executive, Premium) hadir dengan lampu nyalaan siang (DRL) LED, menjadikannya suatu kereta permulaan yang berbaloi untuk pembeli.

Walau bagaimanapun, untuk dua varian bawah iaitu Standard dan Executive tidak didatangkan dengan pencahayaan tail light bar seperti yang ada pada varian Premium.

Pada pandangan penulis, sentuhan yang dibuat pada pencahayaan bahagian belakang adalah impak paling besar untuk pembeli tidak perlu fikir lama untuk memilih Saga Premium ini.

Ini kerana gaya baharu Saga betul-betul meningkatkan nilai estetik Saga ini ke aras kereta kompak dengan nilai mampu milik namun mempunyai gaya moden seiringan dengan kereta moden kini.

Nadi kuasa: Enjin baharu beri impak besar?

Proton kali ini memberi nadi baharu pada Saga baharu dengan enjin i-GT 1.5 liter empat silinder daripada Geely berbanding sebelum ini enjin 1.3 liter empat silinder.

Spesifikasi enjin baharu itu mempunyai kuasa output pada 120PS dan daya kilas pada 150Nm dan apa yang menariknya, jika dibandingkan spesifikasi itu di atas kertas, enjin ini mempunyai angka yang hampir dengan enjin daripada model segmen-B jenama Jepun.

Apa yang baharu juga adalah transmisi yang digunakan untuk varian tertinggi iaitu Premium, nadi kuasanya digandingkan dengan transmisi jenis CVT berbeza dengan varian Executive dan Standard mengekalkan transmisi automatik 4-AT seperti versi sebelum ini.

Pandangan penulis hasil gandingan trenkuasa ini? Untuk varian Premium CVT, apa yang dirasakan penulis ketika memandu adalah hantaran kuasanya lebih lancar walaupun di keadaan jalan berliku liku di Gerik.

Enjin baharu ini sememangnya dilihat memberi impak besar pada Saga dari segi power ratio, terima kasih pada badan Saga yang kompak, memberi kestabilan untuk mengharungi jalan tersebut dengan lebih yakin.

Tetapi ingat, penulis tidak memaksudkan pemanduan itu seperti pemanduan kenderaan prestasi tinggi, penulis hanya menggambarkan Saga baharu ini kereta kompak yang mampu untuk mengharungi pelbagai corak bentuk jalananan.

Walau bagaimanapun, hasil pemanduan varian Executive 4AT adalah tidak sama dengan varian Premium. Penulis rasakan varian ini ada sedikit ‘meraung’ ketika kotak gear mahu mencapai gear seterusnya.

Ini dapat dirasa ketika melalui laluan berbukit serta berliku-liku. Akan tetapi ketika memandu di keadaan jalan lurus seperti lebuh raya, hantaran kuasanya tiada kesan negatif, semuanya rasa lebih lancar.

Pengalaman pemanduan: Tidak lagi guna power steering hidraulik

Pembaharuan yang dilakukan dari segi teknikal bukan sahaja pada nadi kuasa, malahan komponen mekanikal lain seperti power steering turut menerima pembaharuan yang kini menggunakan jenis elektronik.

Ada perbezaan dengan versi hidraulik sebelum ini? Ya ada rasa, penulis merasakan respons kawalan stereng Saga terkini lebih mudah dan ringan untuk pengendalian.

Perkara ini membuatkan penulis rasa ‘less effort’ dari segi kawalan Saga ini menjadikan ia lebih seronok dipandu ketika memandu di apa jua keadaan jalan tambahan pula kereta ini tidak terlalu berat.

Untuk penggunaan bahan api, walaupun tidak diuji secara spesifik, tetapi apa yang dipaparkan pada visual kluster meter menunjukkan jarak purata ketika tangki bahan api penuh mampu mencapai sekitar lebih 500 kilometer (km).

Proton juga menuntut nadi kuasa baharu pada Saga ini mempunyai kecekapan bahan api yang cukup baik iaitu ia mampu mencapai 4.9 liter setiap 100 km bagi varian kotak gear CVT.

Bagi penulis, untuk sebuah kenderaan kompak segmen-A dengan kapasiti tangki bahan api 40 liter dan tenaga yang lebih cekap ia sudah cukup memadai untuk perjalanan yang jauh tambah-tambah lagi ia sebuah kereta yang mampu milik.

RUANG dalaman Saga menampilkan gaya yang dikatakan lebih moden dan premium.

Ruang dalaman: Apple CarPlay beri poin terbesar untuk Saga?

Selain menerima wajah baharu yang lebih segar dan moden serta nadi kuasa yang lebih moden. Ciri dan gaya ruang dalaman juga dilihat sebagai poin besar orang ramai menerima Saga baharu ini.

Ruang dalaman Saga menampilkan gaya yang dikatakan lebih moden dan ‘premium’ terutamanya pada panel paparan infotainment dan kluster meter serta keterampilan dashboard yang lebih kemas dan minimalis.

Paparan infotainmen berukuran sembilan inci kini disokong dengan sambungan AppleCarPlay sertai Android Auto menjadikannya satu poin besar ramai memilih Saga ini.

Jika dibandingkan dengan pesaing dalam pasaran dengan paras harga Saga baharu ini, ciri ini adalah satu kemenangan besar untuk Saga sendiri.

Bagi penulis, komponen sambungan Apple CarPlay adalah perkara yang sudah perlu dijadikan ciri ‘wajib’ dalam kereta moden. Ini kerana ia lebih memudahkan pengguna untuk menggunakan ciri navigasi Google Maps atau Waze terutamanya.

Walau bagaimanapun, apa yang perlu diambil perhatian adalah antara muka infotainmen Saga ini adalah lebih ‘direct’. Pengguna tidak perlu ‘slide’ atas atau sisi untuk mengubah tetapan.

Walaupun ia tidak selancar seperti kebanyakkan kenderaan jenama lain, tetapi bagi penulis, ia sudah memadai, lebih baik ada daripada tiada terutamanya pada kereta dengan harga mampu milik.

Sementara itu, untuk paparan kluster meter TFT berwarna berukuran tujuh inci adalah satu daripada pembaharuan menarik kerana paparan antara muka membuatkan ia seperti satu aras lebih tinggi berbanding pesaing dalam pasaran.

Bagi penulis, visual yang dipaparkan sudah cukup jelas untuk menyampaikan maklumat kenderaan pada pengguna walaupun paparan mukanya cukup asas.

Ruang dalaman: Selesa untuk pelbagai saiz badan?

Untuk keseluruhan ruang dalaman, walaupun ia tampil ‘premium’ pada bahagian dashboard dan trim pintu, Saga ini menggunakan bahan plastik (hard material).

Bagi penulis, ia bukan isu yang besar oleh kerana tanda harga yang diletakkan pada Saga ini juga adalah lebih kepada aras mampu milik namun kehadiran ciri yang moden membuatkan Saga ini sudah cukup lengkap.

Sudut lain, untuk keselesaan, bagi mereka badan bersaiz besar seperti penulis iaitu 183 sentimeter (cm), Saga ini masih menawarkan ruang yang selesa pada kokpit pemandu terutamanya pada ruangan kaki.

Namun bagi penulis, balutan leatherette pada varian Premium ini sedikit kasar dan keras dan penulis mengambil sedikit masa untuk betul-betul rasa selesa terutamnya pada bahagian belakang badan.

Dalam hal itu, penulis lebih memilih untuk balutan fabrik yang terdapat pada varian Executive kerana ia lebih selesa untuk penulis.

Bagi barisan tempat duduk belakang, untuk saiz badan seperti penulis, ia bukan satu isu yang besar terutamanya pada ruangan kaki kerana terdapat ruang lekukan pada bahagian belakang kerusi pemandu dan penumpang hadapan.

Selain itu sudut menyandar juga memberi kelebihan pada ruangan kepala kerana penulis tidak perlu duduk terlalu tegak pada bahagian belakang menjadikan lebih selesa.

Apa yang kurang dan mungkin boleh ditambah baik?

Walaupun Saga baharu ini mempunyai perubahan yang cukup besar, tetapi bagi penulis ada beberapa ciri yang mungkin boleh diberi perhatian untuk versi seterusnya.

Pertama adalah port pengecasan Type-C, ini kerana rata-rata pengguna kini menggunakan telefon pintar yang disediakan wayar pengecasan jenis Type-C, jadi jika ada ciri itu, ia sudah cukup baik untuk pengguna mengecas peranti mereka.

Seterusnya adalah butang pintu but belakang untuk varian rendah, ini kerana ia juga dilihat sebagai ciri yang lebih praktikal dan memudahkan pada pengguna.

Selain itu, stereng hanya boleh laras atas dan bawah sahaja, tiada jenis teleskopik depan dan belakang untuk fleksibiliti ruangan had pada pemandu.

Kesimpulan: Proton Saga sudah cukup berbaloi

Bagi penulis, Saga baharu ini sudah cukup berbaloi dengan tanda harga yang ditawarkan untuk setiap varian.

Dengan tanda harga bermula pada RM49,000 bagi varian tertinggi, pengguna dapat sebuah kenderaan yang mempunyai ciri, teknologi moden dan enjin yang dipertingkatkan.

Untuk varian tertinggi itu juga, pengguna bakal mendapat sebuah kereta yang dilengkapi dengan ciri keselamatan ADAS yang pastinya beri kelebihan besar untuk Saga baharu ini.

Bagi pandangan penulis, revolusi Saga baharu ini sememangnya satu langkah besar Proton untuk kembali membawa nama Saga ke puncak jualan tertinggi dalam pasaran tempatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN