Promosi pelancongan ke pasaran berbelanja tinggi perlu diperhebat - Utusan Malaysia

Promosi pelancongan ke pasaran berbelanja tinggi perlu diperhebat

TIONG King Sing (dua dari kiri) dan Pengarah Urusan Oriental Kopi, Datuk Calvin Chan (dua dari kanan) pada Majlis Pelancaran Kempen Rasa Malaysia dengan kerjasama Tourism Malaysia dan Oriental Kopi di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tourism Malaysia perlu melaksanakan usaha promosi yang lebih agresif bagi memperkenalkan Malaysia ke peringkat global, khususnya di negara-negara yang mempunyai pelancong berbelanja tinggi seperti China, Singapura dan negara-negara Eropah.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Datuk Seri Tiong King Sing berkata, tumpuan perlu diberikan kepada pasaran utama termasuk China yang mempunyai potensi besar dari segi jumlah dan perbelanjaan pelancong. 

“Walaupun negara jiran seperti Singapura sering menjadi destinasi pilihan, Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam menarik pelancong untuk membeli-belah dan menikmati makanan tempatan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen Rasa Malaysia di sini. 

Menurut beliau, misi promosi ke luar negara amat penting dan tidak wajar disekat. 

“Tahun lalu, hasil pelancongan negara mencecah RM291 bilion hasil daripada pendekatan promosi yang agresif. 

“Namun, terdapat aduan dan kritikan yang menyatakan lawatan kerja luar negara disalah tafsir sebagai perjalanan peribadi, sedangkan usaha tersebut penting untuk meningkatkan jumlah pelancong,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen Rasa Malaysia bersama Oriental Kopi, di sini semalam.

Bagaimanapun, jelas beliau, penurunan aktiviti promosi sebelum ini menyebabkan jumlah pelancong hanya meningkat kurang daripada lima juta, berbanding unjuran hampir 10 juta pelancong sekiranya promosi diteruskan secara konsisten.

“Masih terdapat negara yang tidak mengetahui lokasi negeri-negeri utama seperti Melaka dan Johor, malah ada yang hanya mengenali Kuala Lumpur dan Sabah,” katanya. 

Justeru, katanya, semua negeri diseru agar lebih agresif dalam mempromosikan produk pelancongan masing-masing, terutama menerusi Tourism State Coordination Committee (TSCT).

Mengenai pasaran China, beliau menolak tanggapan lawatan kerap ke negara itu bersifat peribadi, sebaliknya menegaskan China adalah pasaran terbesar yang perlu diteroka secara menyeluruh termasuk bandar-bandar peringkat kedua. 

“Kerjasama dengan syarikat penerbangan sedang diperkukuh bagi memendekkan tempoh transit dan memudahkan pelancong dari bandar peringkat kedua seperti Urumqi dan Lanzhou untuk datang ke Malaysia,” katanya. 

Dalam masa terdekat, Motac dijangka melancarkan beberapa inisiatif baharu sebelum hujung bulan ini. 

“Antara acara utama yang dirancang ialah Tourism Day dan Festival Muzik Air, yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari di Bukit Bintang pada awal Mei, melibatkan penutupan jalan dan kerjasama pihak hotel,” katanya. 

Dalam pada itu, Kempen Rasa Malaysia, kerjasama dengan Oriental Kopi mencerminkan komitmen jangka panjang jenama tempatan tersebut untuk memelihara warisan kulinari Malaysia, di samping membawa pengalaman rasa tempatan ke peringkat global.

“Budaya kopitiam Malaysia merupakan sebahagian daripada identiti kulinari negara yang mencerminkan kehidupan seharian rakyat, nilai kebersamaan, serta tradisi yang diwarisi merentas generasi. 

“Melalui ‘Rasa Malaysia’, kami berhasrat untuk membawa pengalaman rasa autentik Malaysia ke persada dunia, sekali gus menyokong aspirasi TMM2026,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN