PETALING JAYA: Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia S&P Global yang diselaraskan secara bermusim bagi Disember 2025 kekal tidak berubah pada 50.1 berbanding bacaan November.
S&P Global berkata, angka terkini itu menandakan satu lagi pengukuhan kecil dalam keadaan operasi di seluruh sektor pembuatan Malaysia.
Firma penyelidikan itu berkata, berdasarkan hubungan sejarah antara angka PMI dan data rasmi, bacaan terkini adalah selaras dengan pengembangan tahun ke tahun yang terus kukuh bagi kedua-dua keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan pengeluaran pembuatan pada akhir tahun 2025.
“Peningkatan tahap kesihatan sektor pembuatan didorong oleh kenaikan yang kukuh dalam bilangan tenaga kerja. Pekerjaan meningkat untuk bulan kedua berturut-turut pada Disember,” katanya dalam nota penyelidikan.
S&P Global berkata, peningkatan terkini itu merupakan yang ketiga terpantas sejak pengumpulan data bermula pada Julai 2012 dan yang paling ketara dalam tempoh lebih tujuh tahun.
“PMI Pembuatan Malaysia secara keseluruhan kekal berada dalam zon positif ketika tahun 2025 melabuhkan tirainya. Sorotan utama daripada tinjauan terkini ialah peningkatan pekerjaan pada salah satu kadar paling kukuh yang pernah direkodkan, di samping terdapat tanda-tanda menggalakkan ke arah penstabilan pengeluaran,” katanya.
Beliau berkata, syarikat mengambil tambahan kakitangan bagi menghadapi projek baharu serta menggantikan pekerja yang meninggalkan organisasi, menurut responden, manakala pengeluaran mencatatkan penyederhanaan yang lebih sederhana pada bulan terakhir 2025, menghampiri tahap penstabilan pada Disember.
Selain itu, terdapat tanda-tanda penyederhanaan dalam aliran pesanan baharu pada Disember, selepas pengembangan sederhana yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.
“Keadaan permintaan yang suram dicerminkan melalui tekanan harga yang lebih rendah, dengan trend inflasi kekal sederhana, sebahagiannya disebabkan oleh jeda dalam pertumbuhan aktiviti pembelian bahan mentah. Selain itu, beberapa firma mengambil inisiatif menawarkan diskaun kepada pelanggan bagi merangsang jualan,” tambahnya.
S&P Global berkata, trend permintaan yang lemah dilaporkan menjadi punca kepada penyederhanaan perniagaan baharu.
“Di samping itu, pesanan eksport baharu mencatatkan penyederhanaan untuk bulan keempat berturut-turut pada Disember,” katanya.
Ia menambah bahawa kadar penyederhanaan tersebut adalah kecil, namun sedikit lebih ketara berbanding tempoh tinjauan sebelumnya.
“Seiring dengan kelembapan dalam pesanan kilang baharu, data Disember menunjukkan aktiviti pembelian dalam kalangan pengeluar barangan berada pada tahap mendatar.
“Indeks pelarasan bermusim yang berkaitan sejajar dengan paras neutral 50.0, menandakan bulan pertama sejak Jun lalu bahawa pengeluar barangan tidak meningkatkan pembelian input mereka,” tambahnya.-UTUSAN










