PETALING JAYA: Pertumbuhan pinjaman sektor perbankan Malaysia dijangka kekal stabil sekitar lima peratus pada 2026, disokong jangkaan pemulihan pinjaman perniagaan meskipun momentum pertumbuhan keseluruhan kekal sederhana sejajar pertumbuhan ekonomi negara.
Maybank Investment Bank Securities berkata, pertumbuhan pinjaman industri pada November 2025 berkembang 5.2 peratus tahun ke tahun, namun hanya 4.8 peratus berdasarkan kadar tahunan, mencerminkan momentum yang semakin perlahan menjelang akhir tahun.
“Secara indikatif, pertumbuhan pinjaman dijangka menutup tahun 2025 sekitar lima peratus, sedikit rendah berbanding unjuran awal kami sebanyak 5.2 peratus.
“Bagi 2026, kami menjangkakan pertumbuhan pinjaman kekal stabil pada 5.0 peratus, selari dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.5 peratus,” katanya dalam nota penyelidikan.
Menurut Maybank IB, pemacu utama yang diperlukan untuk menyokong pertumbuhan pinjaman pada 2026 adalah peningkatan pembiayaan kepada sektor perniagaan, memandangkan pinjaman isi rumah dijangka kekal berkembang pada kadar sederhana.
“Pinjaman perniagaan perlu menunjukkan pemulihan yang lebih jelas bagi memastikan pertumbuhan pinjaman keseluruhan dapat dikekalkan, khususnya dalam persekitaran kecairan yang semakin ketat,” katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun pertumbuhan pinjaman kekal sederhana, sektor perbankan terus menunjukkan daya tahan dengan kualiti aset yang terkawal serta permintaan pembiayaan domestik yang masih berdaya sokong.
Dalam tempoh sama, persaingan mendapatkan deposit dijangka kekal sengit, menyebabkan kos dana bank terus tinggi dan menekan margin faedah bersih (NIM), sekali gus mendorong bank untuk lebih berdisiplin dalam pengembangan pinjaman.
“Dalam persekitaran ini, bank-bank dijangka memberi keutamaan kepada pertumbuhan pinjaman berkualiti berbanding pertumbuhan agresif,” katanya.
Maybank IB mengekalkan pandangan positif terhadap sektor perbankan, dengan menjangkakan bank yang mempunyai asas deposit kukuh serta pendedahan lebih besar kepada pinjaman perniagaan berada dalam kedudukan lebih baik untuk memanfaatkan pertumbuhan ekonomi 2026.
Katanya, CIMB Group Holdings Bhd., AMMB Holdings Bhd. dan Alliance Bank Malaysia Bhd. kekal sebagai pilihan utama berikutan kedudukan modal yang kukuh, strategi pertumbuhan pinjaman yang seimbang serta keupayaan mengurus tekanan kos dana.
“Sektor perbankan dijangka terus berkembang secara mampan pada 2026, disokong pertumbuhan ekonomi domestik, walaupun berdepan cabaran daripada persekitaran kecairan yang lebih ketat dan kos pendanaan yang tinggi,” katanya.-UTUSAN










