Pensijilan halal jadi asas penyatuan selera di Hock Kee Kopitiam

Pensijilan halal jadi asas penyatuan selera di Hock Kee Kopitiam

NICK Ng (dua dari kiri) bersama pelanggan di Hock Kee Kopitiam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pensijilan halal yang diperoleh oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bukan sekadar simbol pematuhan agama, sebaliknya menjadi asas penting dalam menyatukan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. 

Menurut pengasas Hock Kee Kopitiam, Nick Ng, sejak hari pertama penubuhan perniagaan itu pada 2018, matlamat utama Hock Kee Kopitiam adalah untuk menjadi kopitiam bersijil halal yang boleh dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa rasa ragu.

“Halal sangat penting kerana sasaran saya adalah seluruh rakyat Malaysia. Saya mahu semua kaum boleh duduk semeja dan menikmati makanan Malaysia bersama-sama. Jika tidak halal, sukar untuk capai konsep ini,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Mengulas lanjut, Nick berkata,  konsep halal bukan hanya berkaitan penggunaan bahan mentah yang dibenarkan, malah melibatkan piawaian kebersihan dan pengurusan operasi yang tinggi, selari dengan garis panduan ditetapkan Jakim.

“Ramai beranggapan pensijilan halal sukar diperoleh, tetapi sebenarnya tidak. Selagi semua bahan daripada pembekal halal dan kita ikut peraturan serta garis panduan yang betul, prosesnya boleh dilalui dengan baik,” jelasnya.

Berkongsi latar belakang perniagaan, Nick berkata, Hock Kee Kopitiam bermula tanpa sebarang pengalaman dalam industri makanan dan minuman (F&B). 

Pada peringkat awal, Nick berdepan cabaran memastikan kualiti makanan dan perkhidmatan sentiasa konsisten.

“Perjalanan awal memang sukar. Banyak perkara perlu dipelajari dan diperbaiki. Namun, saya tidak pernah terfikir untuk berputus asa, termasuk ketika melalui tempoh pandemik,” katanya.

Hasil komitmen terhadap pensijilan halal, Hock Kee Kopitiam berjaya menarik kepercayaan pelanggan Islam sejak awal lagi dan jumlah tersebut terus meningkat selepas memperoleh pengiktirafan halal secara rasmi.

“Selepas dapat halal, lebih ramai pelanggan Islam berasa yakin dan gembira untuk makan di Hock Kee. Ini memberi kesan positif kepada perniagaan,” katanya.

Dalam jangka panjang, Nick menyasarkan untuk membawa jenama Hock Kee Kopitiam ke pasaran antarabangsa, bukan hanya untuk menjana keuntungan, tetapi bagi memperkenalkan keunikan makanan Malaysia kepada masyarakat dunia.

“Saya mahu Hock Kee bukan sekadar dikenali sebagai perniagaan, tetapi sebagai wakil kepada budaya makanan Malaysia. Dari tidak dikenali, kepada dikenali dan suatu hari nanti dikenali semua.

“Tanpa pensijilan halal, usaha memperkenalkan makanan Malaysia terutama kepada pelanggan Islam di peringkat global akan menjadi lebih terbatas, sekali gus menjadikan halal sebagai teras utama hala tuju perniagaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN