Pelan insurans mampu milik antara inisiatif tangani inflasi

Pelan insurans mampu milik antara inisiatif tangani inflasi perubatan

AMIR HAMZAH AZIZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelan Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) asas mampu milik antara inisiatif menangani inflasi tuntutan perubatan dan memperkukuh sistem penjagaan kesihatan negara supaya dapat diakses lebih mudah, lebih banyak pilihan dan lebih mampan. 

Itu antara empat inisiatif penting yang dipersetujui Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) bagi menangani kos penjagaan kesihatan swasta yang semakin meningkat.

Inisiatif lain adalah pelancaran bantuan untuk pengguna membuat keputusan bagi membantu individu merancang kewangan penjagaan kesihatan mereka.

Alat baharu diperkenalkan termasuk Panduan Mudah MHIT dan Kalkulator Persediaan Insurans/Takaful bagi Kemasukan ke Hospital dan Pembedahan (HSIT) untuk menilai keperluan insurans, membuat tuntutan dan merancang belanjawan peribadi.

Selain itu, penerbitan kos rawatan perubatan bagi meningkatkan ketelusan pasaran dan julat kos penanda aras bagi prosedur perubatan lazim di hospital swasta bagi memberikan rujukan jelas bagi perbelanjaan rawatan.

Terakhir pula insentif cukai bagi dana kebajikan hospital swasta iaitu hospital swasta kini layak untuk memohon insentif cukai bagi menubuhkan Dana Kebajikan, sekali gus menggalakkan dan membiayai perkhidmatan penjagaan kesihatan amal kepada pesakit yang kurang bernasib baik.

Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada strategi RESET iaitu usaha kolaboratif antara Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, Bank Negara Malaysia (BNM), ahli akademik dan pihak berkepentingan utama daripada sektor swasta.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, MHIT asas merupakan langkah yang sangat penting ke arah memperluas akses kepada perlindungan yang berterusan. 

“Walau bagaimanapun, strategi RESET mengakui bahawa usaha menangani inflasi tuntutan perubatan memerlukan seluruh ekosistem yang diperkukuh iaitu menyediakan perlindungan dan pada masa yang sama memodenkan penyampaian penjagaan tersebut.

“Melalui kerjasama semua pihak, kita boleh membuat perubahan yang berpanjangan yang akan melindungi individu dengan lebih baik dan memperkukuh sistem penjagaan kesihatan negara,” katanya pada taklimat berkaitan inisiatif RESET di Sasana Kijang di sini semalam.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, RESET merupakan suatu pencapaian penting bagi pendekatan seluruh negara. 

Katanya, dengan memberikan keutamaan pada penjualan berasaskan nilai, usaha ini memastikan hasil kesihatan yang kukuh terus menjadi teras dalam usaha kita untuk mengurangkan inflasi dan memastikan penjagaan kesihatan terus mampu milik. 

“Inisiatif sektor swasta ini melengkapkan sistem penjagaan kesihatan awam kita, lantas memastikan penjagaan yang berkualiti terus boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira sama ada mendapat perkhidmatan daripada swasta atau awam untuk jangka masa panjang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN