PETALING JAYA: Pelabur asing meneruskan trend penjualan ekuiti tempatan di Bursa Malaysia untuk minggu keempat berturut-turut, dengan aliran keluar bersih mencecah RM904 juta pada minggu lalu, iaitu peningkatan sebanyak 65 peratus berbanding minggu sebelumnya.
MBSB Research berkata, sepanjang minggu dagangan, pelabur asing direkodkan sebagai penjual bersih pada setiap hari, dengan aliran keluar tertinggi dicatatkan pada hari Rabu sebanyak RM270 juta, diikuti Selasa (RM261.7 juta), Jumaat (RM232.4 juta) dan Isnin (RM140 juta).
“Dari segi sektor, telekomunikasi dan media mencatat aliran masuk bersih asing tertinggi sebanyak RM16.6 juta, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (RM14.8 juta) serta teknologi (RM8.1 juta).
“Sebaliknya, aliran keluar bersih asing tertumpu kepada sektor perkhidmatan kewangan dengan RM482.8 juta, utiliti (RM258.2 juta) dan perladangan (RM75.9 juta),” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, firma penyelidikan itu berkata, institusi tempatan terus menyokong pasaran dengan mencatat pembelian bersih untuk minggu ketujuh berturut-turut, berjumlah RM924.1 juta.
“Namun, pelabur runcit tempatan kekal sebagai penjual bersih bagi minggu kelima berturut-turut dengan aliran keluar sebanyak RM20 juta,” katanya.
Sementara itu, purata volum dagangan harian (ADTV) menunjukkan peningkatan merentasi semua kumpulan pelabur, diterajui oleh institusi tempatan yang meningkat 18.1 peratus, diikuti pelabur runcit tempatan (3.6 peratus) dan pelabur asing (1.5 peratus). – UTUSAN










