PakCHIPS perkasa produk snek buah-buahan tempatan

PakCHIPS perkasa produk snek buah-buahan tempatan berstatus halal

RAZANA Fatin Abdul Rahman bersama beberapa produk snek buah-buahan keluaran PakCHIPS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PakCHIPS memperkasakan produk snek buah-buahan tempatan, sekali gus mengorak langkah dalam industri makanan halal apabila berjaya memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak 2017.

Pengurus Besar D Souq Enterprise, Razana Fatin Abdul Rahman berkata, pensijilan halal tersebut diperoleh selepas syarikat memenuhi sepenuhnya keperluan yang ditetapkan.

Beliau berkata, ia merangkumi aspek pemilihan bahan mentah, proses pengeluaran, kebersihan premis serta dokumentasi operasi yang sistematik. 

“Pensijilan ini bukan sahaja menjadi jaminan kepada pengguna, malah berperanan sebagai pemangkin utama kepada peluasan pasaran produk.

“Selepas memperoleh sijil halal, PakCHIPS terus memberi tumpuan kepada perancangan strategik bagi mengembangkan pasaran secara lebih meluas. 

“Antara fokus utama syarikat termasuk penempatan produk di stesen minyak, khususnya rangkaian Petronas, selain menembusi pasar raya dan hipermarket utama di seluruh negara,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Beliau berkata, permohonan sijil halal dibuat atas dasar tanggungjawab terhadap pengguna serta komitmen syarikat untuk mengekalkan integriti dan kualiti produk.

“Bagaimanapun, terdapat beberapa cabaran utama seperti penyediaan dokumentasi, penyeragaman prosedur operasi standard (SOP) serta pematuhan rantaian bekalan. 

“Namun, proses ini secara tidak langsung membantu menjadikan operasi syarikat lebih tersusun, telus dan profesional” katanya. 

Menurutnya, pensijilan halal dilihat sebagai elemen penting yang membuka akses kepada pasaran runcit dan antarabangsa yang lebih luas.

“Pensijilan halal turut memberikan pelbagai kelebihan kepada perniagaan kami, antaranya peningkatan keyakinan pengguna, pengukuhan kredibiliti jenama serta peluang lebih besar untuk menembusi pasaran eksport. 

“Produk PakCHIPS turut dipasarkan di kiosk serta kedai serbaneka, di samping mengukuhkan pasaran eksport ke Jepun, Asia Barat dan Amerika Syarikat (AS),” ujarnya. 

Razana berkata, PakCHIPS merupakan snek buah-buahan kering berasaskan tumbuhan tanpa bahan pengawet. 

“Antara produk utama termasuk kerepek nangka, pisang, labu dan nanas MD2 yang sesuai untuk pengguna mengamalkan gaya hidup sihat.

“Perniagaan ini dimulakan dengan modal secara berperingkat mengikut keupayaan pengeluaran. 

“Ketika ini, jualan bulanan mencecah sekitar RM50,000 dengan pertumbuhan yang konsisten hasil peluasan saluran pengedaran serta pasaran eksport terpilih,” jelasnya. 

D Souq Enterprise merupakan syarikat yang menguruskan jenama PakCHIPS, diasaskan pada 2017 di Lenggeng, Negeri Sembilan. 

Syarikat ini kemudiannya melalui proses penstrukturan semula dan bermula pada 2023 dengan operasi pengeluaran dipusatkan di Dungun, Terengganu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×