SHAH ALAM: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam menetapkan sasaran jualan lebih 5,000 pek kuih raya di bawah jenama ‘CeriteRaya,’ tahun ini.
Inisiatif yang diterajui oleh Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) itu merupakan langkah dalam memperkasakan agenda keusahawanan mahasiswa yang beralih daripada sekadar simulasi kepada perniagaan dunia sebenar.
Penolong Naib Canselor (Keusahawanan) MASMED, Prof. Madya Dr. Badrul Isa berkata, projek tersebut bukan sekadar aktiviti bermusim, malah untuk melahirkan graduan profesional yang berjiwa usahawan.
“Hubungan antara universiti dan industri sudah lama terjalin, namun kali ini kita memilih anak-anak MPP sebagai penggerak utama kerana mereka adalah kumpulan contoh di peringkat mahasiswa.
“Dengan kekuatan lebih 200,000 warga UiTM di seluruh negara termasuk kakitangan dan pelajar, sasaran 5,000 pek itu tidak mustahil untuk dicapai melalui sistem rangkaian ahli gabungan (affiliate) di 13 cawangan kampus seluruh Malaysia,” katanya semasa sidang media pelancaran projek tersebut di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi DMG Food Industries, Datuk Dr. Hassan Saad menyatakan kesediaannya untuk memberikan sokongan pengeluaran tanpa had bagi memenuhi permintaan yang dijangka melonjak.
“Awalnya kita berbincang mengenai sasaran 1,500 pek, kemudian meningkat ke 5,000 pek. Melihat kepada impak dan kesungguhan mahasiswa hari ini, kami di DMG akan menyokong penuh kapasiti pengeluaran mengikut permintaan pasaran,” katanya.
Selain aspek jualan, mahasiswa yang terlibat turut didedahkan dengan modul latihan profesional termasuk kursus pengendalian makanan, pengurusan akaun dan strategi pemasaran digital.
Bank Rakyat dan Lembaga Pemegang Amanah, Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) memainkan peranan penting dalam menyediakan bimbingan teknikal bagi memastikan aliran tunai dan pengurusan perniagaan dijalankan mengikut piawaian industri.
Dalam pada itu, Pengerusi INSKEN, Datuk Mustaffa Kamil Ayub berkata, projek tersebut merupakan pendedahan praktikal yang paling berkesan buat mahasiswa.
“Dalam tempoh dua bulan ini, mereka akan belajar mengenai pulangan pelaburan (ROI) dan pengurusan risiko. Kita mahu setiap warga Malaysia mempunyai jiwa keusahawanan menjelang 2030 dan bermula di peringkat universiti adalah langkah paling tepat,” katanya.
Katanya, sebanyak 28 variasi kuih raya bakal dipasarkan, merangkumi kategori Premium dan Golden.
Bagaimanapun, harga bagi kuih raya tersebut masih dalam perbincangan antara pihak MPP dan pembekal. – UTUSAN










