KUALA LUMPUR: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan memperkenalkan harga rujukan rasmi minyak masak terpakai pada suku pertama 2026.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, penanda aras ini akan menyediakan isyarat harga yang lebih jelas, menyokong amalan perdagangan yang adil serta membantu melindungi pemain industri khususnya pengusaha kecil, daripada manipulasi harga dan maklumat yang tidak tepat.
“Minyak masak terpakai memainkan peranan penting dalam peralihan untuk menukar sisa kepada sumber yang berharga, khususnya bagi kegunaan hiliran seperti biofuel dan produk kimia berasaskan sawit.
“MPOB terus memperkukuh tadbir urus, penjejakan yang jelas serta pengawasan pasaran bagi memastikan minyak masak terpakai diurus secara selamat dan teratur,” katanya dalam ucapan dalam Seminar Tinjauan dan Pandangan Ekonomi Minyak Sawit 2026 di sini.
“Tahun lalu, sektor minyak sawit menunjukkan daya tahan kukuh walaupun berdepan persekitaran luaran yang mencabar. Harga purata minyak sawit mentah meningkat daripada RM4,179 pada tahun 2024 kepada RM4,292 setan, mencatatkan peningkatan sebanyak 2.7 peratus.
“Hasil eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit dijangka melebihi RM100 bilion, dengan pengeluaran minyak sawit mentah menghampiri 20 juta tan.
“Angka-angka ini mencerminkan usaha gigih dan komitmen kukuh para pemain industri di sepanjang rantaian nilai,” katanya.
Noraini berkata, minyak sawit kekal sebagai komoditi penting bagi keselamatan makanan global serta keperluan industri.
“Oleh itu, Malaysia perlu kekal fleksibel dalam menguruskan permintaan pasaran serta cabaran operasi.
“Di peringkat global pula, pengeluaran minyak sawit semakin berkembang melangkaui Asia Tenggara, termasuk di kawasan seperti Afrika.
“Keadaan ini menuntut kita untuk sentiasa bersedia dan adaptif bagi mengekalkan keunggulan negara dalam industri ini,” katanya.
Lebih 400 pakar industri dan akademik bagi membincangkan prestasi pasaran 2025, potensi bagi 2026 serta strategi dan hala tuju industri sawit Malaysia dalam seminar tersebut.
Pada majlis yang sama, MPOB melancarkan Buku ‘Small Bites, Big Impact – The Red Palm Oil Biscuit Story’ yang mengetengahkan dapatan Kajian Suplementasi Minyak Sawit Merah (RPO) yang dijalankan di bawah kerjasama MPOB dan Universiti Malaya (UM).
Buku tersebut menerangkan keberkesanan biskut berasaskan minyak sawit merah dalam meningkatkan tahap provitamin A, zat besi, profil darah dan kesihatan usus, mengurangkan keradangan, masalah penglihatan serta mencegah jangkitan parasit dalam kalangan kanak-kanak.
Majlis itu menyaksikan pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) bagi kerjasama penambahbaikan Sistem Pemantauan Estet Sawit antara MPOB yang diwakili Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir dan Aerodyne Geospatial Sdn. Bhd. diwakili oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Aerodyne Group, Datuk Kamarul A. Muhamed.
Perjanjian tersebut melibatkan kerjasama pembangunan sistem digital bersepadu bagi memantau aktiviti ladang sawit secara masa nyata yang membolehkan pemantauan berterusan terhadap aktiviti utama ladang seperti penuaian, pembajaan, mekanisasi, penggunaan tenaga kerja serta prestasi operasi secara keseluruhan. – UTUSAN










