IPOH: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) giat memacu pelbagai inisiatif dalam bidang kecerdasan buatan (AI), transformasi digital, pembuatan pintar, teknologi hijau serta kejuruteraan bernilai tinggi di bawah agenda inovasi nasional.
Menterinya, Chang Lih Kang berkata, inisiatif-inisiatif itu bertujuan mengukuhkan ekosistem teknologi negara serta meningkatkan daya saing Malaysia.
“Bagaimanapun, teknologi mesti diintegrasikan secara berkesan dalam aplikasi sebenar untuk memberi impak yang nyata.
“Di bawah Agenda Inovasi Nasional MOSTI, kami memacu inisiatif dalam kecerdasan buatan, transformasi digital, pembuatan pintar, teknologi hijau dan kejuruteraan bernilai tinggi. Namun, teknologi tidak boleh wujud secara terasing.
“Nilai sebenar teknologi hanya dapat direalisasikan apabila ia diintegrasikan ke dalam infrastruktur dunia sebenar seperti bangunan, kilang, hospital, sistem pengangkutan dan kemudahan perindustrian.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri pelancaran prospektus Kee Ming Group Berhad menuju penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.
Lih Kang berkata, pelancaran prospektus itu juga merupakan pertama diadakan di Perak, menghantar mesej jelas bahawa negeri itu kini sedang diposisikan sebagai pusat inovasi berasaskan teknologi.
“Tawaran awam permulaan (IPO) bukan sekadar latihan kewangan. Ia mencerminkan kematangan, disiplin dan keyakinan sesebuah syarikat untuk mengembangkan impaknya, bukan sahaja dari segi komersial, malah dalam menyumbang kepada pembangunan negara.
“Keupayaan teknikal dan pengalaman Kee Ming meletakkan syarikat itu pada kedudukan baik untuk bekerjasama dengan penyedia teknologi, syarikat pemula, institusi penyelidikan dan agensi kerajaan.
“Pendekatan ini selari dengan objektif MOSTI untuk menterjemahkan inovasi kepada penyelesaian praktikal dan berskala yang memberi manfaat nyata kepada perniagaan dan komuniti,” ujarnya.
Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata,
Kerajaan Negeri melalui Pelan Perak Sejahtera 2030 telah menetapkan pendekatan pembangunan yang jelas iaitu membina ekosistem ekonomi yang menyokong pertumbuhan industri bernilai tinggi secara mampan.
“Pendekatan ini menekankan kepastian dasar, pembangunan infrastruktur strategik, tenaga dan teknologi, serta pemerkasaan modal insan sebagai asas daya saing jangka panjang.
“Dalam kerangka ini, sektor kejuruteraan mekanikal dan elektrikal merupakan antara komponen teras yang menyokong peralihan industri, merangkumi sistem elektrik, penyaman udara dan pengudaraan mekanikal, perlindungan kebakaran, infrastruktur tenaga dan kecekapan operasi,” katanya.
Beliau berkata, kehadiran syarikat tempatan berkeupayaan membolehkan ekosistem industri negeri berfungsi secara menyeluruh, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan memperkukuh pembangunan bakat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Di peringkat antarabangsa, sektor mekanikal dan elektrikal dijangka terus berkembang, didorong oleh pembangunan infrastruktur, pendigitalan sistem dan keperluan kelestarian global.
“Dalam landskap ini, syarikat yang mampu menggabungkan keupayaan teknikal, tadbir urus yang kukuh serta pembangunan kemahiran dan teknologi hijau akan berada pada kedudukan yang lebih berdaya tahan dan kompetitif,” katanya. – UTUSAN









