KOSMA labur RM13 juta laksana projek tenaga solar

KOSMA labur RM13 juta laksana projek tenaga solar

PROJEK tenaga solar bernilai RM13 juta untuk keperluan elektrik 1,200 pekerja Bangladesh dan Indonesia di ladang KOSMA Keratong di Rompin, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) melabur sebanyak RM13 juta menerusi pelaksanaan projek tenaga solar berskala besar, sekali gus mencipta dua pencapaian unik berpotensi disenaraikan dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Pelaburan tersebut memberi manfaat kepada lebih 1,200 pekerja ladang warga Indonesia dan Bangladesh yang menikmati kemudahan bekalan elektrik berasaskan tenaga solar selama 24 jam sejak dua tahun lepas setaraf kawasan bandar dan pinggir bandar, meskipun menetap jauh di kawasan pedalaman ladang sawit di Keratong.

Pencapaian tersebut bukan sahaja mengukuhkan kedudukan KOSMA sebagai peneraju koperasi berteraskan tenaga hijau, malah meletakkan koperasi itu sebagai perintis penggunaan teknologi lestari dalam sektor perladangan negara.

Pengerusi KOSMA, Datuk Zamri Mohamed berkata, dua pencapaian berkenaan ialah pembinaan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) pertama di kawasan ladang sawit di Malaysia serta pengoperasian ATM tersebut sepenuhnya menggunakan tenaga solar hasil kerjasama strategik dengan RHB Bank.

Menurut beliau, projek tenaga solar itu dibangunkan bagi menyalurkan bekalan elektrik ke Kompleks Perladangan KOSMA dan kediaman pekerja ladang, sekali gus memberi manfaat langsung kepada pekerja asing yang sebelum ini bergantung sepenuhnya kepada penggunaan genset diesel.

“Projek yang dimulakan pada Mei 2023 ini bukan sahaja memastikan kebajikan pekerja lebih terjamin, malah meningkatkan kualiti kehidupan mereka yang kini menikmati bekalan elektrik stabil seperti di kawasan bandar walaupun berada jauh di pedalaman,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Pahang, Mohd. Firdaus Shaari di Kompleks Perladangan KOSMA di sini.

Zamri berkata, penggunaan tenaga solar membolehkan KOSMA menjimatkan kira-kira RM300,000 sebulan berbanding kos terdahulu sekitar RM5,000 sehari yang terpaksa ditanggung melalui penggunaan enjin diesel bagi membekalkan elektrik kepada kediaman pekerja dan kakitangan ladang.

“Projek ini dibangunkan di kawasan seluas 43,560 kaki persegi termasuk pemasangan panel solar di atas bumbung bangunan, sekali gus membolehkan bekalan elektrik disalurkan secara berterusan selama 24 jam,” jelasnya.

Menurutnya, inisiatif beralih kepada tenaga solar itu diambil berikutan lokasi ladang KOSMA yang meliputi kawasan seluas 230,000 hektar di Keratong dan berada jauh di luar liputan perkhidmatan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Tindakan meninggalkan penggunaan genset diesel membuktikan keupayaan KOSMA meneroka sektor berpertumbuhan tinggi yang lebih mampan, mesra alam serta menjimatkan kos operasi jangka panjang,” katanya.

Mengulas tentang kemudahan ATM solar tersebut, Zamri berkata, mesin yang ditempatkan di pintu masuk pondok pengawal keselamatan Ladang KOSMA itu membolehkan pekerja asing mengeluarkan gaji serta menghantar wang ke negara asal tanpa perlu keluar ke bandar.

“Kami juga akan menempatkan sebuah lagi mesin ATM di bangunan Kompleks Perladangan KOSMA bagi memenuhi keperluan lebih 300 kakitangan,” katanya.

Susulan potensi besar projek tenaga solar itu, Zamri berkata, KOSMA turut menubuhkan anak syarikat, Global KOSMA, bagi membekalkan perkhidmatan dan melaksanakan projek tenaga solar kepada syarikat perladangan berskala besar di seluruh negara yang kebanyakannya masih belum menikmati bekalan elektrik.

“Anak syarikat ini akan menyediakan kepakaran teknikal serta membekalkan peralatan solar terus dari kilang, sekali gus membuka cabang perniagaan baharu yang berpotensi menjana pendapatan tambahan kepada KOSMA,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×