Kerjasama ANGKASA-KPDN perluas penganjuran PJRM 2026

Kerjasama ANGKASA-KPDN perluas penganjuran PJRM 2026

angkasa
Dr. Abdul Fattah Abdullah ketika mengadakan pertemuan dengan Dr. Fuziah Salleh di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menjangkakan lebih 1,000 koperasi di seluruh negara dapat menganjurkan Program Jualan  Rahmah MADANI (PJRM) pada tahun 2026 dengan sasaran perolehan mencecah RM50 juta. 

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, penganjuran PJRM oleh  koperasi menunjukkan peningkatan ketara apabila sebanyak 245 siri dilaksanakan pada tahun  2024 dengan penglibatan hampir 100 koperasi, manakala jumlah itu meningkat kepada 652 siri  pada tahun 2025 melibatkan 250 koperasi. 

“Bagi tahun 2026, ANGKASA memohon pertimbangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri  dan Kos Sara Hidup (KPDN) agar peruntukan bajet PJRM ditingkatkan supaya lebih banyak  koperasi peruncitan dapat menyertai program ini, sekali gus membantu meningkatkan perolehan  koperasi,” katanya. 

Beliau berkata, ANGKASA turut menjangkakan jumlah siri PJRM oleh koperasi pada tahun 2026  akan meningkat kepada lebih 2,800 siri dan memberi manfaat kepada lebih setengah juta  pengguna, khususnya di kawasan luar bandar yang sukar mendapatkan bekalan barangan  keperluan harian. 

Beliau berkata demikian ketika mengetuai delegasi ANGKASA dalam kunjungan hormat bertemu  Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup,  Datuk Dr. Fuziah  Salleh di Putrajaya. 

Menurutnya, penganjuran PJRM sebelum ini berjaya meningkatkan perolehan koperasi luar  bandar sehingga RM50,000 sekali gus membuktikan impak besar program itu dalam menyokong  kelangsungan ekonomi koperasi. 

Selain menawarkan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah, beliau berkata  penganjuran program turut memudahkan penduduk setempat mendapatkan bekalan harian serta  memperluas pendedahan mengenai peranan koperasi di peringkat komuniti. 

Dalam pada itu, beliau berkata ANGKASA berharap kerjasama strategik bersama KPDN di  peringkat pusat dan negeri bagi penganjuran PJRM 2026 dapat memperluas peranan koperasi dalam rantaian peruncitan dan pengedaran barangan keperluan asas, di samping meneroka  potensi pembangunan usahawan koperasi, pelaksanaan program kawalan harga serta inisiatif  kesedaran pengguna menerusi jaringan koperasi di peringkat komuniti.

Sementara itu, Datuk Dr. Fuziah menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif ANGKASA  dalam memperkasakan koperasi menerusi penganjuran PJRM dan percaya koperasi merupakan  wadah yang tepat untuk memperkukuh komuniti luar bandar dalam membantu meringankan  beban rakyat yang terkesan akibat peningkatan kos sara hidup. 

“KPDN di peringkat pusat dan negeri akan memudahkan segala urusan ANGKASA bagi  penganjuran PJRM selepas ini serta melunaskan semua tuntutan yang masih belum diselesaikan  bagi tahun-tahun berkenaan secepat mungkin. 

Pada masa sama, saya berharap ANGKASA dapat menambah nilai PJRM dengan  memperbanyakkan tawaran produk serta memperkemas aspek pelaksanaan termasuk  menangani sebarang isu teknikal,” jelas Dr. Fuziah.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN