Kee Ming Group sasar RM31.5 juta di Pasaran ACE - Utusan Malaysia

Kee Ming Group sasar RM31.5 juta di Pasaran ACE

LIEW Kar Hoe (lima dari kiri) bersama Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang (lima dari kanan) dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (tengah) semasa Majlis Pelancaran Prospektus IPO Kee Ming Group Berhad di AC Hotel, Ipoh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kee Ming Group Berhad (Kee Ming), penyedia penyelesaian kejuruteraan mekanikal dan elektrik (M&E), menjangkakan mengumpul RM31.50 juta menerusi pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

Syarikat yang dijadualkan tersenarai pada 12 Februari itu bakal menerbitkan 66.63 juta saham baharu pada harga terbitan 38 sen sesaham.

Pengarah Urusannya, Ir. Liew Kar Hoe berkata, IPO itu akan memperkukuh keupayaan operasi dan membolehkan syarikat melaksanakan projek yang lebih besar dan lebih kompleks.

“Ini merentasi segmen perindustrian, komersial, kediaman, berkaitan tenaga bersih serta lain-lain yang kebanyakannya terdiri daripada infrastruktur awam dan kemudahan sambungan.

“Ia turut memperkukuh komitmen kami untuk menyediakan penyelesaian kejuruteraan yang selamat, andal dan berkualiti tinggi.

“Syarikat turut berdedikasi untuk memacu pertumbuhan yang mampan dan mewujudkan nilai jangka panjang untuk pihak berkepentingan kami,” katanya pada Majlis Pelancaran Prospektus IPO Kee Ming sini, semalam.

Daripada jumlah hasil daripada IPO sebanyak RM25.30 juta, sebanyak RM13 juta akan diperuntukkan bagi modal kerja syarikat untuk projek-projek masa depannya.

Sementara itu, bon prestasi bagi projek masa hadapan (RM4 juta), pengembangan pasukan projek (RM1.72 juta) serta pembelian sistem Perancangan Sumber Perusahaan (ERP) (RM1 juta).

Selain itu, sebanyak RM600,000 pula diperuntukan bagi modal kerja am dan
RM5 juta untuk membayar yuran dan perbelanjaan berkaitan dengan pelaksanaan IPO.

Beliau berkata, bagi tahun kewangan 2026, syarikat memfokuskan operasinya kepada tiga segmen perniagaan utama, sejajar dengan keperluan industri dan permintaan projek berskala besar.

Menurutnya, segmen pertama merangkumi kemudahan sambungan tenaga boleh diperbaharui, khususnya bagi ladang solar dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), melibatkan kerja-kerja sambungan arus ulang alik (AC), arus terus (DC) serta voltan tinggi.

“Segmen ini memberi tumpuan kepada keperluan interconnection bagi projek tenaga boleh diperbaharui, termasuk sambungan AC, DC dan voltan tinggi, yang memerlukan kepakaran teknikal khusus.

“Segmen kedua pula melibatkan pusat data termasuk projek berskala besar, namun syarikat menegaskan ia tidak bergantung sepenuhnya kepada sektor berkenaan.

“Walaupun kami terlibat dalam projek pusat data, ia bukan satu-satunya pemacu perniagaan kerana kami mengekalkan portfolio yang seimbang,” ujarnya.

Sementara itu, segmen ketiga yang menjadi teras perniagaan Kee Ming ialah reka bentuk dan bina kejuruteraan M&E bagi sektor perindustrian seperti kilang semikonduktor dan hab logistik.

“Keupayaan reka bentuk, kejuruteraan dan sokongan teknikal sejak fasa pra-pembinaan membezakan kami daripada kontraktor lain, terutamanya dalam projek perindustrian berteknologi tinggi.

‘Dalam aspek tenaga kerja, syarikat turut memberi penekanan kepada pembangunan bakat tempatan dengan aktif menggaji graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“Kami komited membangunkan tenaga kerja teknikal tempatan bagi menyokong pertumbuhan mampan industri,” katanya.

Mengulas mengenai perluasan operasi syarikat, Kar Hoe berkata, ketika ini syarikat menumpukan pasaran domestik meliputi Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Johor Bahru dengan perancangan untuk berkembang ke Sarawak, khususnya di Kuching.

“Buat masa ini, tiada rancangan segera untuk ke pasaran antarabangsa kerana keutamaan kami adalah memastikan pelaksanaan projek yang berkualiti dan mampan dalam negara,” katanya.

Setelah disenaraikan, Kee Ming akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM123.50 juta berdasarkan harga terbitan 38 sen sesaham dan modal saham terbitan yang diperbesar sebanyak 325 juta saham.

TA Securities Holdings Berhad ialah Penasihat Utama, Penaja, Ejen Penempatan Tunggal dan Penaja Jamin Tunggal untuk IPO ini, manakala Eco Asia Capital Advisory Sdn. Bhd.. bertindak sebagai Penasihat Kewangan IPO tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN