PETALING JAYA: Jenama produk kuih kapit usahawan bumiputera, Mafenaz berjaya melonjakkan jualannya antara 30 peratus hingga 50 peratus selepas mendapat pensijilan halal pada 2019 daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Pengarah Urusan Haq Rich Enterprise, Shafinaz Ainaa Muslim berkata, selepas memperoleh sijil halal, produk syarikat mereka lebih mudah menembusi pasaran lebih besar, menyertai pelbagai acara rasmi serta menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak, selain terus dijual di kedai sendiri, Ratu Kapit Station.
“Selepas memperoleh sijil halal, kami telah dijemput untuk menyertai beberapa acara di luar negara, termasuk di China pada 2019 bagi memperkenalkan produk kuih kapit halal kami.
“Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan kami turut menerima pelawaan untuk mengedarkan produk kami ke beberapa negara lain sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Selain itu, produk kami juga berjaya menembusi pasaran stesen minyak dan terdapat pihak-pihak yang berminat untuk menjadi ejen pengedar bagi mengedarkan produk kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, Haq Rich mengambil langkah untuk memohon pensijilan halal Jakim, seiring dengan kesungguhan untuk menaikkan taraf produk kuih kapit yang sering dianggap sebagai kuih kampung.
“Kami percaya bahawa kuih kapit juga berpotensi untuk mendapat sijil halal dan berkembang ke peringkat yang lebih jauh.
“Sijil halal bukan sekadar logo semata-mata, tetapi merupakan satu jaminan kepada pelanggan, sama ada pelanggan lama atau baharu.
“Ia turut memastikan produk yang dihasilkan oleh syarikat kami adalah bersih, selamat untuk dimakan dan dihasilkan mengikut Prosedur Operasi Piawai (SOP) yang mematuhi spesifikasi pensijilan halal,” ujarnya.
Shafinaz berkata, pensijilan halal telah memberikan impak positif jangka panjang kepada perniagaan mereka.
“Ini bukan sahaja dari segi jualan, malah turut meningkatkan reputasi, kepercayaan pelanggan serta memastikan kelangsungan perniagaan kami pada masa hadapan,” katanya.
Mengulas lanjut tentang perkembangan perniagaan, dia berkata, syarikat mempunyai 18 jenis kuih kapit yang telah mendapat pensijilan halal buat masa ini.
“InsyaAllah, tahun ini kami akan memperkenalkan Kuih Kapit Mafenaz dengan wajah baharu sebagai sebahagian daripada usaha kami untuk kembali mempromosikan produk di pasaran antarabangsa.
“Selain itu, kami juga bercadang menambah beberapa produk baharu untuk mendapatkan pensijilan halal Jakim, selaras dengan usaha kami memastikan semua produk yang dihasilkan adalah bersih, selamat dan memenuhi piawaian halal,” jelasnya. – UTUSAN










