Inflasi di Johor tertinggi pada Disember 2025 - Utusan Malaysia

Inflasi di Johor tertinggi pada Disember 2025

INFLASI di Johor tertinggi pada Disember 2025. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Johor merupakan negeri dengan kadar inflasi tertinggi iaitu 2.3 peratus, diikuti Negeri Sembilan (2.2 peratus) dan Pahang (1.8 peratus) pada Disember 2025.

Tiga negeri itu merupakan antara lima negeri yang melebihi paras inflasi nasional iaitu 1.6 peratus, yang diikuti Wilayah Persekutuan Labuan (1.8 peratus) dan Selangor (1.7 peratus).

Baki 11 negeri meningkat di bawah dan sama dengan kadar inflasi nasional dengan Kelantan merekodkan inflasi terendah pada 0.5 peratus.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, kesemua negeri mencatatkan peningkatan inflasi makanan dan minuman kecuali Kelantan (-0.3 peratus) manakala tujuh
negeri merekodkan peningkatan melepasi paras nasional bagi segmen sama pada Disember 2025.

Ujarnya, peningkatan tertinggi direkodkan oleh Negeri Sembilan (3.4 peratus), diikuti Pahang (2.7 peratus), Wilayah Persekutuan Labuan (2.4 peratus), Johor (2.3 peratus), Melaka (2.1 peratus), Terengganu (1.6 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1.6 peratus).

“Purata harga petrol RON97 kekal pada RM3.24 seliter, manakala purata harga diesel di Semenanjung Malaysia menurun kepada RM3.03 seliter, dan harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.

“Secara bulanan, inflasi meningkat 0.3 peratus pada Disember 2025 berbanding sifar peratus pada November lalu, manakala inflasi tahunan bagi keseluruhan 2025 mencatatkan 1.4 peratus, lebih rendah berbanding 1.8 peratus pada 2024,” katanya dalam kenyataan.

Di peringkat serantau, kadar inflasi Malaysia pada Disember 2025 adalah lebih rendah berbanding Vietnam, Indonesia dan Korea Selatan, namun lebih tinggi berbanding China dan Thailand.

Inflasi Malaysia meningkat 1.6 peratus pada Disember 2025 berikutan Indeks Harga Pengguna (IHP) mencatatkan 135.5 mata berbanding 133.4 mata pada bulan sama tahun sebelumnya.

Peningkatan tersebut didorong terutamanya oleh inflasi lebih tinggi dalam kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial serta pelbagai barangan dan perkhidmatan yang meningkat 5.7 peratus, diikuti pendidikan (2.8 peratus) serta minuman alkohol dan tembakau (2.5 peratus).

Kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain turut mencatatkan peningkatan lebih tinggi kepada 0.9 peratus berbanding 0.7 peratus pada November 2025, manakala maklumat dan komunikasi kembali meningkat 0.9 peratus selepas mencatatkan penurunan pada bulan sebelumnya.

Bagaimanapun, beberapa kumpulan mencatatkan peningkatan lebih perlahan berbanding November lalu, antaranya pengangkutan (0.1 peratus), rekreasi, sukan dan kebudayaan (0.8 peratus) serta restoran dan perkhidmatan penginapan (3.1 peratus).

Mohd. Uzir berkata, sebanyak 62.8 peratus item dalam bakul IHP merekodkan kenaikan harga pada Disember 2025, namun majoritinya meningkat pada kadar sederhana iaitu kurang atau sama dengan 10 peratus.

“Kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang hampir 30 peratus wajaran IHP meningkat 1.5 peratus, kadar yang sama seperti November 2025, subkumpulan makanan di luar rumah meningkat lebih perlahan kepada 2.7 peratus, manakala makanan di rumah mencatatkan peningkatan marginal 0.3 peratus.

“Inflasi ikan dan makanan laut lain meningkat 2.2 peratus, disumbangkan oleh kenaikan harga ikan hidup, segar, sejuk dan beku, khususnya ikan nyok-nyok, kerapu dan pelaling.

“Sebaliknya, harga sayur-sayuran terus mencatatkan penurunan 4.2 peratus dengan bawang merah besar, bawang putih, sawi dan bayam hijau antara item yang mencatatkan penurunan ketara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN