Emas alami pembetulan harga, hanya bersifat sementara

Emas alami pembetulan harga, hanya bersifat sementara

HARGA emas mengalami pembetulan teknikal selepas meningkat tinggi beberapa minggu lalu, namun akan naik kembali kerana asas pertumbuhan yang kuat.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penurunan harga emas baru-baru ini sekitar RM28 segram mencerminkan pembetulan jangka pendek selepas tempoh kenaikan, namun masih berada pada paras tinggi mengikut sejarah.

Profesor Madya di iCATS University College, Kuching, Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, ia merupakan penurunan harian kecil di bawah paras tinggi semasa.

Menurutnya, terdapat beberapa faktor yang biasanya menyumbang kepada turunnya harga emas dalam jangka pendek. 

“Selepas harga emas melonjak tinggi, ramai pelabur menjual sebahagian bagi merealisasikan keuntungan, sekali gus meningkatkan tekanan jualan.

“Pengurangan risiko geopolitik atau risiko pasaran turut menyumbang, di mana apabila sentimen risiko berkurangan, permintaan untuk emas sebagai ‘safe-haven’ akan menurun sedikit.

“Pengaruh dolar Amerika Syarikat (AS) juga memainkan peranan kerana harga emas dinyatakan dalam mata wang negara itu. Jika dolar AS menguat, emas boleh turun kerana ia menjadi lebih mahal dalam mata wang lain.

“Penurunan sebegini biasanya adalah hasil teknikal dan reaksi pasaran jangka pendek, bukan kejatuhan fundamental yang besar,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Beliau berkata, penurunan itu hanya bersifat sementara dan dilihat sebagai “tarikan semula teknikal” selepas kenaikan mendadak.

“Emas sememangnya berubah-ubah (volatile), jadi kenaikan dan penurunan kecil dalam beberapa hari adalah perkara biasa.

“Pasaran secara umumnya masih melihat emas dalam jangka sederhana hingga panjang sebagai aset pelindung nilai, terutamanya sekiranya kadar faedah turun, inflasi kekal, atau ketidakpastian ekonomi berterusan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Abu Sofian berkata, kemungkinan harga emas mencapai RM700 segram seperti ramalan penganalisis sebelum ini bergantung kepada beberapa faktor.

“Secara logik, ia tidak mustahil dalam jangka panjang jika syarat tertentu dipenuhi. 

“Harga emas global kini berada pada paras tertinggi menurut ramalan penganalisis antarabangsa. Trend kenaikan dijangka berterusan pada 2026 dan berpotensi melepasi rekod tertinggi sebelum ini.

“Permintaan yang meningkat daripada pelabur dan bank pusat juga biasanya menyokong harganya menjadi lebih tinggi. 

“Selain itu, kadar faedah yang rendah serta ketidakpastian ekonomi berterusan turut memacu logam berharga seperti emas, kerana ia tidak memberikan dividen tetapi menarik sebagai lindung nilai,” jelasnya. 

Tambahnya, walau bagaimanapun, pencapaian RM700 segram bukan jaminan dalam jangka pendek, namun ia memerlukan kondisi global yang sangat kuat, seperti inflasi tinggi, kadar faedah rendah, atau masalah geopolitik besar.

Sementara itu, Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, harga emas mengalami pembetulan teknikal selepas meningkat tinggi beberapa minggu lalu, namun akan naik kembali kerana asas pertumbuhan yang kuat.

“Ini berikutan aliran keluar dari bon-bon terbitan AS kepasaran ekuiti dan pasaran logam sebagai pelaburan yang lebih selamat, kesan dari unjuran pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS 2026.

“Justeru itu, penurunan harga semasa adalah bersifat sementara, dimana ia telah mulai naik semula pada Jumaat (semalam) sebanyak AS$61 menjadikannya AS$4,383.86 seauns,” jelasnya.

Sebelum ini, harga emas melonjak melepasi paras AS$4,500 seauns (RM590 segram) buat kali pertama, manakala perak dan platinum turut mencatat paras tertinggi baharu.

Kenaikan itu berlaku apabila pelabur berpusu-pusu melabur dalam logam berharga didorong oleh permintaan aset selamat serta jangkaan bahawa kadar faedah Amerika Syarikat (AS) akan terus diturunkan tahun depan.-UTUSAN 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN