KUALA LUMPUR: Syarikat pengeluar makanan terkemuka, DMG Food Industries Sdn. Bhd. (DMG Food) menyasarkan jualan sebanyak RM10 juta bagi produk cenderahati terbaharunya, ‘Cookies Malaysia’ sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Sasaran tersebut melibatkan pengeluaran sebanyak satu juta pek bagi menampung jangkaan kemasukan 36 juta pelancong ke negara ini menjelang tahun melawat Malaysia tersebut.
Pengerusi DMG Food, Datuk Dr. Hassan Saad berkata, produk yang menampilkan 14 variasi kuih tradisional mengikut identiti negeri itu bertujuan mengangkat martabat kuih tempatan sebagai produk cenderahati premium yang boleh didapati sepanjang tahun.
“Selalunya kuih-kuih tradisional ini hanya dikaitkan dengan musim perayaan. Apabila habis raya, jualan pun terhenti.
“Melalui penjenamaan semula sebagai ‘Cookies Malaysia’, kita mahu meletakkan kuih tradisional kita di tempat yang betul agar ia boleh dijual dan dinikmati sepanjang tahun oleh pelancong luar mahupun warga tempatan,” katanya dalam majlis pelancaran ‘Cookies Malaysia’ sempena TMM2026 di sini, semalam.
Bagi memastikan kelancaran pemasaran, Hassan berkata, DMG Food telah mengatur kerjasama strategik dengan pelbagai pihak termasuk Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) yang bakal bertindak sebagai pusat sehenti bagi produk berkenaan.
Selain itu, produk tersebut juga dijangka akan ditempatkan di 1,000 rangkaian hotel di bawah Persatuan Hotel Malaysia (MAH) serta 28 lokasi pasar raya AEON.
“Kami juga bekerjasama dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk kempen ‘Beli dan Menang’ yang dijangka akan dilancarkan pada 14 Februari ini di R&R Seremban (Arah Selatan).
“Bagi pembeli kombo empat pek yang dijual pada harga RM100 berpeluang memenangi hadiah utama sebuah kereta e.MAS,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, syarikat itu dalam proses membuka ‘DMG The Cookies Boutique’ yang pertama di Kuala Lumpur pada Jun ini, diikuti dengan pembukaan butik kedua di Birmingham, England pada Ogos, selain perancangan menembusi pasaran Singapura.
“Cenderahati ini sudah pun mula diterbangkan ke Birmingham melalui kerjasama dengan pengusaha restoran di sana. Ini membuktikan kuih tradisional Melayu mempunyai potensi besar untuk dikenali dunia,” katanya.
Produk ‘Cookies Malaysia’ sempena TMM2026 dijual pada harga mampu milik iaitu RM10 per pek, manakala variasi kuih tradisional lain untuk pasaran domestik dijual pada harga antara RM25 hingga RM37 bergantung kepada jenis dan kuantiti.
//habis










