Co-opbank Pertama buka mesin layan diri emas 

Co-opbank Pertama buka mesin layan diri emas 

BAHAROM Embi (dua dari kiri) dan Khairil Anuar Mohammad Anuar (tiga dari kiri) barisan pengurusan tertinggi kumpulan ketika Majlis Pelancaran Mesin Layan Diri Emas CBP di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Co-opbank Pertama (CBP) memperkenalkan produk emas fizikal yang dikenali sebagai CBP Gold melalui perkhidmatan mesin layan diri dengan kerjasama Public Gold.

Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, inisiatif penjualan emas secara fizikal ini adalah salah satu strategi CBP dalam memenuhi keperluan dan memenuhi permintaan terhadap pelaburan emas di kalangan pelanggan.

“Pembelian emas melalui mesin layan diri ini boleh dibuat di ibu pejabat CBP di Kuala Lumpur, bermula hari ini.

“Pembeli boleh membuat pembelian emas fizikal bermula serendah 0.2 gram sehingga maksimum 1 gram melalui transaksi pembayaran tanpa tunai. 

“Berat emas yang ditawarkan akan diperluaskan pada masa akan datang selaras dengan permintaan pelanggan,” katanya ketika Majlis Pelancaran Mesin Layan Diri Emas CBP di sini, hari ini.

Yang turut hadir sama Pengerusi Public Gold, Datuk Seri Louis Ng dan Timbalan Pengerusi Public Gold, Datin Seri Yvonne Lim.

Mengulas mengapa segmen emas menjadi fokus utama, beliau berkata, syarikat melihat emas sebagai lebih stabil bukan sahaja dari sudut keuntungan tetapi juga nilai jangka panjang kepada pelanggan.

“Harga emas yang konsisten menjadikannya alternatif pelaburan yang lebih selamat. Sebab itu kami menggalakkan pelanggan untuk mengimbangi portfolio pelaburan mereka dengan emas.

“Kenaikan harga emas yang konsisten menunjukkan potensi peningkatan nilai sebagai instrumen simpanan untuk jangka yang panjang, ” katanya.

Mengulas sasaran tahun semasa, beliau berkata sasaran aset telah dinaikkan daripada RM15 bilion kepada RM16 bilion, selari dengan strategi pengembangan syarikat.

“Kami akui tahun ini agak mencabar berikutan ketidaktentuan ekonomi semasa. Justeru, kami mengambil langkah strategik dengan terus mengukuhkan segmen emas,” katanya.

Tambahnya, sempena dengan pelancaran penjualan produk CBP Gold ini, CBP menawarkan cenderahati eksklusif kepada 25 pelanggan terawal pada hari pelancaran dan hadiah saguhati bakal diberikan kepada 75 pembeli berikutnya bagi pembelian yang dibuat dalam tempoh sehingga 28 Februari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×