PETALING JAYA: Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) menerima pengiktirafan atas kecemerlangan amalan tadbir urus korporat dan kemampanan apabila menduduki tempat ke-9 dalam kelompok 10 teratas dalam Anugerah Tadbir Urus & Kemampanan Korporat Kebangsaan (NACGSA) 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia, Sean Wang berkata, pengiktirafan berprestij itu menggariskan komitmen teguh pihaknya untuk mengekalkan kecemerlangan dalam tadbir urus korporat dan kemampanan.
“Ia merupakan bukti kepimpinan dan dedikasi kami untuk menjadi entiti korporat yang dipercayai yang mengutamakan ketelusan, akauntabiliti dan pertumbuhan yang mampan,” katanya dalam satu kenyataan.
Anugerah itu dianjurkan oleh Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti (MSWG) dan disokong oleh Dana Pembangunan Pasaran Modal (CMDF).
NACGSA 2025 memberi penghormatan kepada amalan tadbir urus korporat dan kemampanan yang teladan dalam kalangan syarikat tersenarai awam (PLC) di Malaysia.
Anugerah itu menggunakan metodologi penilaian yang disokong oleh Majlis Tadbir Urus Korporat yang dipengerusikan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Metodologi itu turut mengintegrasikan Kad Skor Tadbir Urus Korporat ASEAN yang berpaksikan Prinsip Tadbir Urus Korporat G20/OECD, Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia dan Penilaian Kemampanan yang merujuk Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan Bursa Malaysia. – UTUSAN










