SEPANG: Sebanyak 88 pemilik pertama Thunder Custom di negara ini menerima motosikal masing-masing sempena majlis pelancarannya di Litar Antarabangsa Sepang Petronas di sini, baru-baru ini.
Model custom bobber LS250-S berkapasiti enjin 250cc itu dihasilkan menerusi kerjasama pengeluar dari Jepun dan China pada harga RM23,788.
Pengarah Urusan Bike Continent Sdn. Bhd., Ronnie Chen berkata, pihaknya menyasarkan jualan model ubah suai dari kilang itu sebanyak 600 unit pada tahun ini.
“Jualan bagi segmen ini sangat rendah sebab ia bukan motosikal untuk kegunaan harian sebaliknya dibeli oleh mereka yang mahu menunggangnya pada hujung minggu.
“Namun, kami tetap menaruh harapan dapat jual antara 500 hingga 600 unit pada tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, dari segi khidmat selepas jualan, beberapa pengedar telah dilantik di seluruh negara bagi menyediakan perkhidmatan penyenggaraan dan jualan alat ganti. – UTUSAN










