100 peratus cawangan Seoul Garden raih pensijilan halal

100 peratus cawangan Seoul Garden di Malaysia raih pensijilan halal

WAN Khairul Annuar (kiri) dan Teng Wei Liek (kanan) menunjukkan antara hidangan di Seoul Garden yang mula beroperasi di Perlis di Kangar Jaya Perlis baru-baru ini. – UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seoul Garden jenama terkenal yang 85 peratus terdiri daripada pelanggan Islam  mempunyai pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di seluruh 33 cawangannya di seluruh Malaysia.

Malah, cawangan pertamanya di Perlis yang mula beroperasi sejak pertengahan November lalu juga dalam proses mendapat pensijilan halal yang sememangnya sentiasa menjadi keutamaan serta tanggungjawab Seoul Garden Malaysia itu.

Pengarah Francais merangkap Pengerusi Halal Kumpulan Seoul Garden, Wan Khairul Annuar berkata, sememangnya menjadi keutamaan kepada Seoul Garden mendapatkan pensijilan halal yang cukup penting, sekali gus memberi keyakinan kepada perniagaan makanan itu.

Katanya, sijil halal bukan sahaja penting untuk para pelanggan Islam sebaliknya ia juga merangkumi kebersihan dalam membekalkan makanan kepada pelanggan bukan Islam.

Ujar beliau, pihaknya juga sangat menitipkan beratkan soal halal tersebut dengan setiap tahun akan dilaksanakan dua kali proses audit berkaitan aspek halal berkenaan.

“100 peratus outlet kita di Malaysia mempunyai sijil halal dan terbaharu Seoul Garden pertama yang beroperasi di Perlis kini dalam proses mendapat pensijilan halal tersebut. Mengikut statitistik, 85 peratus pelanggan kita adalah beragama Islam dan aspek halal itu sangat penting.

“Sijil halal memberi kekuatan kepada perniagaan makanan serta memberi keyakinan kepada pengguna Islam menjamu selera tanpa rasa was-was,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, beliau memberitahu, Seoul Garden pertama di Perlis yang mula beroperasi pertengahan November lalu mendapat sambutan yang cukup luar biasa.

Katanya, kelaziman outlet di Seoul Garden adalah di dalam kompleks membeli belah namun keistimewaan di Perlis ia dibuka di lot bangunan berhampiran Kangar Jaya Mall di sini.

“Syarikat melihat potensi di Perlis yang juga bersempadanan dengan Thailand. Apabila mula dibuka, sambutan diterima begitu baik dengan pukul 11 pagi, pelanggan sudah ramai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×