PETALING JAYA: West Coast Expressway (WCE) meraih beberapa pengiktirafan penting di Anugerah Perhubungan Awam Malaysia (MPRA) 2025, termasuk Anugerah Emas bagi kategori Komunikasi Isu atau Krisis.
Kejayaan itu menjadikan WCE sebagai syarikat lebuh raya pertama di Malaysia yang menerima penghargaan tertinggi dalam kategori tersebut.
Pengiktirafan tersebut membuktikan ketelusan komunikasi WCE dalam pengurusan isu serta pendekatan proaktif syarikat dalam menyampaikan maklumat kepada pelanggan lebuh raya, pihak berkuasa, rakan media dan pemegang taruh lain.
Ketua Pegawai Eksekutif WCE Holdings Berhad (WCEHB), Lyndon Alfred Felix berkata, kejayaan ini mencerminkan komitmen syarikat terhadap komunikasi yang bertanggungjawab dan berasaskan fakta.
“Pengiktirafan ini sangat bermakna kerana ia mencerminkan dedikasi seluruh pasukan WCE dalam memastikan komunikasi yang telus, tepat dan berintegriti, terutamanya ketika menangani isu yang melibatkan orang ramai.
“Penghargaan ini mengukuhkan lagi keyakinan kami untuk terus meningkatkan amalan komunikasi dan keterlibatan pemegang taruh,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kejayaan tersebut menjadi pemangkin bagi WCE untuk terus memperkukuh reputasi sebagai syarikat lebuh raya yang komited menyediakan pengalaman pelanggan terbaik melalui penyampaian maklumat yang berkesan dan bertanggungjawab.
WCE turut membawa pulang penghargaan iaitu Anugerah Perak, Hal Ehwal Awam yang mengiktiraf usaha strategik WCE dalam advokasi dasar, penyelarasan dengan agensi kerajaan, serta komunikasi berterusan bagi pembangunan projek pembinaan lebuh raya.
Selain itu, Anugerah Perak, Pelancaran Pengguna mengiktiraf usaha WCE dalam pelancaran pembukaan jajaran Seksyen 2 yang memberi kesan positif kepada pengguna serta pendekatan kreatif dalam mendekati pelanggan lebuh raya dan Anugerah Gangsa, Penjenamaan Korporat mengiktiraf inisiatif penjenamaan semula dan komunikasi korporat WCE yang lebih segar, konsisten dan berkesan.
MPRA merupakan anugerah PR paling berprestij di Malaysia yang mengiktiraf kecemerlangan dalam strategi komunikasi di kalangan pengamal perhubungan awam dalam pengurusan isu, kreativiti serta impak melalui kempen di seluruh negara. – UTUSAN










