PETALING JAYA: UOA Real Estate Investment Trust (UOA REIT), melalui pemegang amanahnya RHB Trustees Berhad mengumumkan cadangan pembelian beberapa hartanah milik Everise Project Sdn. Bhd. dengan jumlah pertimbangan sebanyak RM200 juta.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, UOA REIT berkata, transaksi itu akan dibiayai melalui gabungan bayaran tunai RM110.5 juta serta penerbitan 107.83 juta unit baharu UOA REIT pada harga terbitan RM0.83 seunit.
Katanya, cadangan pembelian tersebut dijangka mengukuhkan lagi portfolio aset UOA REIT yang kini memberi tumpuan kepada hartanah komersial berpendapatan stabil.
Selain itu, UOA REIT turut mencadangkan penubuhan Pelan Pelaburan Semula Pengagihan Pendapatan.
Jelasnya, pelan ini akan memberi pilihan kepada pemegang unit untuk melabur semula sebahagian atau keseluruhan pengagihan pendapatan mereka ke dalam unit baharu UOA REIT, bagi meningkatkan pegangan pada kos yang lebih menarik.
Tambahnya, kedua-dua cadangan itu dijangka dibentangkan untuk kelulusan pemegang unit dalam mesyuarat akan datang.
UOA REIT berkata, langkah strategik ini bertujuan memperkukuhkan kedudukan kewangan, meningkatkan kecairan serta mengembangkan nilai jangka panjang untuk semua pemegang unit. – UTUSAN










