PETALING JAYA: UEM Sunrise Bhd dijangka mencatat keuntungan bersih yang lebih kukuh pada suku keempat 2025 disokong penjualan tanah pusat data (DC) East Ledang bernilai RM146 juta, menurut penganalisis.
CGS International Securities (CGSI) berkata, UEM Sunrise mencatatkan keuntungan bersih teras suku ketiga tahun kewangan 2025 yang lebih lemah iaitu RM17.4 juta (-29 peratus suku ke suku, -43 peratus tahun ke tahun), terutamanya disebabkan pengebilan kemajuan projek yang perlahan.
Firma penyelidikan juga turut mengurangkan unjuran pendapatan se saham (EPS) tahun kewangan 2025, 2026, 2027, masing-masing sebanyak tiga peratus, 16 peratus dan 19 peratus, berikutan semakan lebih rendah terhadap jangkaan jualan dan pengebilan kemajuan bagi projek berjalan termasuk Collingwood dan Gerbang Nusajaya.
“Hasilnya, harga sasaran (TP) kami turun kepada RM0.60, berdasarkan diskaun lebih lebar 65 peratus, selepas semakan pendapatan dan peralihan penilaian kepada jangkaan tahun kewangan 2026,” katanya dalam nota penyelidikan.
CGSI turut mengekalkan saranan ‘pegang’ kerana menjangkakan pendapatan kekal suram sepanjang jangkaan tahun kewangan 2025 hingga tahun kewangan 2027, dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) pendapatan sesaham (EPS) tiga tahun sebanyak -19 peratus, dipengaruhi tempoh kewangan yang panjang bagi bank tanahnya yang luas.
“Risiko penurunan termasuk pendapatan yang lemah dan kadar jualan projek yang perlahan. Risiko kenaikan pula merangkumi jualan tanah baharu dan kadar pengambilan lebih tinggi bagi projek sedia ada.” katanya.
Sementara itu RHB Research turut menjangkakan keuntungan UEM Sunrise pada suku keempat 2025 akan positif disokong oleh pelupusan tanah pusat data.
Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan TP RM1.09 daripada RM1.28, potensi kenaikan 88 peratus.
“Walaupun jualan dan kedudukan kewangan lebih kukuh, kami menurunkan TP bagi mencerminkan penilaian yang lebih berhati-hati selaras dengan sentimen pasaran yang lebih konservatif ketika ini,” katanya.
RHB turut mengekalkan unjuran keuntungan tahun kewangan 2025 hingga 2027 dengan menjangkakan penjualan tanah pusat data akan dimuktamadkan dalam suku keempat 2025 yang akan meningkatkan keuntungan dengan ketara.
Tambahnya, jualan belum dibil menurun kepada RM2.11 bilion daripada RM3.01 bilion pada suku kedua 2025. – UTUSAN










