Label hiburan terkenal, Rocketfuel Entertainment, tampil dengan inisiatif luar biasa bersempena Ramadan dan Syawal tahun ini menerusi pelancaran tujuh buah lagu raya yang merangkumi pelbagai genre dan emosi.
Menariknya, kesemua karya tersebut dihimpunkan dalam sebuah EP khas bagi membentuk satu ‘universe’ raya yang unik di bawah payung jenama itu sendiri.
Menerusi tema ‘Bila Bersama, Lagi Jadi’, antara taruhan utama ialah kumpulan ALPHA dengan lagu ‘Rindu Raya’ yang mengangkat tema kerinduan terhadap keluarga dan kampung halaman.
Selain itu, penyanyi Wani Kayrie turut kembali memeriahkan suasana menerusi lagu ‘Kampung Kita’, sebuah karya rancak yang merupakan kesinambungan kepada lagu tularnya sebelum ini, ‘Cak Cak Cekuk’.
“Saya suka lagu raya yang fun dan buat orang rasa hendak menari. ‘Kampung Kita’ ada vibe itu, tapi dalam masa yang sama ada kisah manis tentang perasaan rindu,” kata Wani.
Bagi peminat irama M-Pop, kolaborasi antara Hael Husaini dan ALPHA menerusi lagu ‘Raya Macam Raya’ pasti mencuri tumpuan dengan rentak upbeat yang segar. Hael turut tampil dengan single solo berjudul ‘Lagu Raya Untukmu’ sebagai tanda penghargaan buat para peminatnya.
Turut memeriahkan koleksi ini ialah gandingan Sharul Kamal dan Mierul Aiman menerusi lagu ‘Duit Raya’ yang membawa mesej santai tentang erti keikhlasan dalam menyambut Aidilfitri.
Namun, bagi yang ingin menyelami perasaan hiba, balada melankolik nyanyian Dayang Nurfaizah berjudul ‘Senyum Gugur Di Hujung Doa’ nukilan Hael Husaini dan Iqie Hugh pastinya menyentuh emosi.
“Lagu ini saya nyanyikan dengan hati yang tulus buat mereka yang merindui insan tersayang yang telah pergi selamanya. Semoga ia menjadi penenang jiwa,” jelas Dayang.
Melengkapkan ‘universe’ raya tersebut adalah penyanyi Nadeera yang mempertaruhkan lagu ‘Restu Raya’ yang menekankan tentang nilai kebersamaan tanpa mengira usia.
Ketua Rocketfuel Entertainment, Sher Leen Wee berkata, kepelbagaian genre yang ditampilkan dalam koleksi kali ini adalah bagi mencerminkan realiti masyarakat yang mempunyai latar belakang dan rasa yang berbeza.










